SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis Kemahiran Pekerjaan Selangor (MKPS) bagi menyelaras pembangunan kemahiran tenaga kerja supaya lebih sepadan dengan keperluan industri semasa.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penubuhan majlis itu akan menghimpunkan pemain industri, ahli akademik, penggubal dasar serta pekerja bagi merangka hala tuju pembangunan kemahiran yang lebih adaptif.
Katanya, langkah itu susulan pengalaman menerusi pelbagai program yang dilaksanakan negeri termasuk Program Selangor Career Outreach (SCOUT) dalam usaha menangani isu ketidakpadanan kemahiran yang masih berlaku.

“Setelah beberapa pengalaman dan program yang digerakkan oleh negeri seperti SCOUT, Kerajaan Negeri akan menubuhkan MKPS supaya industri, pihak akademia, penggubal dasar serta pekerja sendiri dapat merangka hala tuju yang adaptif untuk mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran yang wujud hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.
Dalam masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi penjagaan dengan memformalkan sektor berkenaan, termasuk melibatkan pekerja tidak formal yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan pekerja dalam sektor tersebut mendapat bimbingan serta sokongan yang lebih tersusun.
Kerajaan Negeri turut memberi fokus kepada peningkatan penyertaan wanita dalam ekonomi, khususnya membantu ibu yang ingin kembali bekerja selepas melahirkan anak menerusi Program Kembali Bekerja.
“Ini termasuk meningkatkan peluang dan penglibatan wanita di dalam ekonomi, terutamanya ibu yang baru melahirkan anak dan ingin kembali ke bidang kerja melalui Program Kembali Bekerja,” katanya.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada Misi Keempat RS-2 yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan produktif dan inklusif.
RS-2 ialah kerangka pembangunan Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menggariskan enam misi merangkumi 25 bidang dan 98 inisiatif.
Rancangan lima tahun itu memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara daerah serta meningkatkan kualiti hidup menerusi pendekatan kehidupan wajar dan bermaruah.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan https://www.amirudinshari.com/rs2 atau https://www.selangor.gov.my/rs2








