SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Selangor memperkukuh jaminan bekalan air negeri menerusi pelaksanaan lima projek infrastruktur utama yang dijangka meningkatkan kapasiti rawatan air secara signifikan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata melalui lima projek infrastruktur air utama, iaitu Loji Rasau Fasa 1 dan 2, Langat 2 Fasa 2 serta Labohan Dagang Fasa 2 memastikan bekalan air bersih 24 jam dapat dinikmati seluruh rakyat Selangor tanpa gangguan.
“Inisiatif ini berhasrat menambah kapasiti rawatan air negeri secara signifikan, mengurangkan tekanan ke atas loji sedia ada.
“Ia juga bagi memastikan bekalan air yang selamat untuk memenuhi pertumbuhan populasi dan industri Selangor,” katanya katanya ketika membentangkan Usul Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Selain itu, katanya projek Selangor Maritime Gateway (SMG) akan diteruskan menerusi usaha pembersihan Sungai Klang bagi memulihkan ekosistem sungai dan telah menunjukkan tanda positif yang amat menggalakkan.
Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar pula, katanya, Selangor memperkukuh usaha perlindungan hutan menerusi Pelan Pengurusan Central Forest Spine (CFS) 2020-2029 serta pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor bagi memastikan khazanah ekologi negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
“Pada masa sama, Inisiatif Karbon Selangor akan memperkukuh kedudukan negeri sebagai pemain strategik dalam pasaran karbon sukarela Malaysia dengan memanfaatkan 31 peratus litupan hutan simpan negeri sebagai aset iklim bernilai tinggi,” katanya.
RS-2 menerusi Misi Lima: Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar dan daya tahan iklim dalam melindungi ekosistem serta memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.
Menerusinya lima bidang keutamaan digariskan iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana; pemeliharaan dan biodiversiti; teknologi hijau dan bandar rendah karbon; pengurusan sisa dan ekonomi kitaran serta keterjaminan air.
Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata Selangor mencatat pencapaian terbaik ekoran tiada gangguan bekalan air berskala besar sejak tahun lalu, khususnya selepas projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) beroperasi.
Menurutnya kejayaan itu didorong tindakan pantas dan berkesan SJAM yang mengekal kestabilan bekalan meski terdapat pencemaran air.
SJAM adalah salah satu projek strategik utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang dikendalikan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS Selangor) untuk melindungi sumber air mentah dan memastikan bekalan air di Selangor tidak terganggu.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.







