SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan papan pemuka (dashboard) khas Rancangan Selangor Kedua (RS-2) supaya rakyat dapat memantau pelaksanaan inisiatif dan manfaat yang diterima secara langsung.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, papan pemuka berkenaan penting bagi memastikan RS-2 kekal sebagai dokumen dinamik atau “living document” yang relevan serta mudah difahami rakyat.
Menurutnya, papan pemuka itu boleh merangkumi pencapaian Rancangan Selangor Pertama (RS-1), keseluruhan perancangan RS-2 selain menyediakan paparan kemajuan projek secara langsung serta pautan kepada platfrom Sistem Aplikasi Kita Selangor Sepadu (AKSES).
“Lebih baik jika Kerajaan Negeri boleh mewujudkan satu fungsi atau dashboard ‘What’s in it for me?’. Contohnya, seorang nelayan boleh melihat secara terus inisiatif-inisiatif RS-2 yang relevan kepadanya,” katanya ketika membahaskan usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.
Yi Wei berkata, kaedah tersebut dapat membantu rakyat memahami bagaimana pelaksanaan RS-2 memberi kesan secara langsung kepada mereka, selain menjadikan rancangan pembangunan negeri lebih mudah diakses dan dinilai secara terbuka.
Sementara itu, beliau turut menggesa Kerajaan Negeri memberi tumpuan lebih besar terhadap pembangunan ekonomi kreatif dan pelancongan menerusi RS-2.
Katanya, pembangunan kedua-dua sektor itu perlu bergerak melangkaui pendekatan konvensional dengan memberi penekanan kepada aset tidak ketara (intangible assets), harta intelek (IP) dan kesan merentas sektor.
Beliau berkata, produk pelancongan juga perlu memberi pengalaman lebih bermakna kepada pengunjung dengan mengetengahkan budaya dan warisan tempatan sebagai tarikan.
Yi Wei turut mencadangkan pihak berkuasa tempatan mengenal pasti kawasan kedai atau industri lama yang berpotensi dibangunkan semula sebagai hab kreatif atau ruang untuk penggiat industri kreatif baharu.
“Peluang untuk memperkenalkan budaya dan warisan Selangor perlu diperluas, termasuk membangunkan pengalaman pelancongan yang membolehkan pengunjung merasai sendiri keunikan sesuatu kawasan,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan RS-2 sebagai hala tuju pembangunan Selangor hingga 2030 merangkumi enam misi utama yang membabitkan 25 bidang dan 98 inisiatif.
Beliau berkata RS-2 turut memperuntukkan nilai keseluruhan RM33.31 bilion bagi yang akan dibelanjakan secara saksama bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat tanpa hanya bergantung kepada peruntukan Kerajaan Negeri.
Katanya, pelaksanaan rancangan itu turut melibatkan hasil anak syarikat Kerajaan Negeri, pelaburan sektor swasta serta kerjasama pelbagai pemegang taruh bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan secara berkesan dan mencapai sasaran ditetapkan.







