Peniaga lega sampah makin kurang, bau busuk sudah tiada

10 Sep 2026, 6:00 AM
Peniaga lega sampah makin kurang, bau busuk sudah tiada

KLANG, 10 SEPT: Usaha memulihkan Sungai Klang projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) mula dirasai peniaga sekitar Pengkalan Batu berikutan keadaan sungai itu kini dilihat lebih bersih dan kurang berbau berbanding sebelum ini.

Peniaga D’Pangkalan, Nuraini Mohd Asraff, 39, berkata perubahan itu semakin ketara terutama selepas perangkap sampah dipasang sekali gus sampah makin berkurangan di permukaan sungai.

Nuraini Mohd Asraff

“Dulu memang tidak dinafikan sungai ini berbau, tetapi sekarang makin bersih dan pelanggan pun tidak pernah mengadu mengenai bau.

“Kalau hujan, memang ada sampah dari kawasan lain yang sampai ke sini, tetapi secara keseluruhannya keadaan jauh lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga anak jati Klang berharap usaha Kerajaan Negeri mengembalikan imej Sungai Klang dapat diteruskan sehingga sungai berkenaan kembali pulih seperti suatu ketika dahulu.

“Dulu orang boleh berkayak dan menangkap ikan tanpa rasa ragu-ragu. Saya teringin tengok keadaan itu kembali,” katanya lagi.

Peniaga Mr Patin, Zulkafli Yahya, 45, pula memilih Pangkalan Batu sebagai lokasi berniaga kerana tertarik dengan suasana tepi sungai yang tenang.

Beliau yang berasal dari Pangsenam, Pahang mula berniaga sejak Januari lalu memberitahu, keadaan sungai yang semakin baik menjadikan kawasan berkenaan lebih menarik.

Zulkafli Yahya

“Memang saya tahu mengenai isu Sungai Klang melalui media, orang cakap kotor dan busuk. Tetapi tidak sangka sungai ini sekarang makin elok. Berniaga di sini pun tenang dan menyeronokkan.

“Kalau semua pihak sama-sama bertanggungjawab, saya percaya Sungai Klang boleh jadi cantik seperti Sungai Melaka,” katanya.

Bagi peniaga makanan di Jalan Tepi Sungai, Norhidayah Md Rosli, 29, perubahan sungai itu memberi kesan positif ekoran kian ramai orang luar dan pelancong melalui kawasan itu menggunakan transit aliran ringan (LRT) Pasar Jawa.

Beliau memberitahu keadaan sungai berkenaan yang lebih bersih menyebabkan beliau tidak lagi berasa malu dengan keadaan di sekeliling premis perniagaannya.

Norhidayah Md Rosli

“Dulu memang bau sebab banyak sampah, tetapi sekarang jauh lebih baik dan sampah pun makin kurang.

“Kita alu-alukan usaha kerajaan untuk pulihkan sungai ini. Cuma orang ramai pun kena sama-sama jaga dan jangan buang sampah merata-rata,” katanya.

Sejak 2018, Kerajaan Selangor berusaha memulihkan Sungai Klang melalui inisiatif SMG yang kini mencapai kemajuan 60 peratus dan dijangka siap lebih awal sekitar 2028 berbanding sasaran asal.

Projek itu membabitkan hampir 88,000 ekar dan dikenal pasti sebagai konsep penjanaan semula bandar. Antara pembangunannya ialah perdagangan, perhotelan, pelancongan, perumahan dan industri perkhidmatan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.