SHAH ALAM, 11 SEPT: Selangor perlu melengkapkan ekosistem aeroangkasa menerusi pembangunan infrastruktur bertaraf dunia, tarikan pelaburan berkualiti serta rangkaian pembekal tempatan dan asing yang lebih kukuh bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab aeroangkasa serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif National Aerospace Industry Corporation (NAICO), Shamsul Kamar Abu Samah berkata Selangor sudah mempunyai kelebihan besar dalam sektor berkenaan apabila hampir 70 peratus aktiviti aeroangkasa Malaysia tertumpu di negeri itu, khususnya di Subang dan Sepang.
Namun, katanya, kelebihan tersebut perlu diperkukuh dengan menarik lebih banyak aktiviti bernilai tinggi termasuk pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), kejuruteraan serta teknologi aeroangkasa termaju.

“Kita memerlukan lebih banyak aktiviti dijalankan di Selangor kerana hampir semua syarikat ini terletak sama ada di Sepang atau Subang,” katanya ketika dihubungi Media Selangor baru-baru ini.
Menurut Shamsul, pembangunan Pelan Regenerasi Lapangan Terbang Subang (SARP), Selangor Aero Park (SAP) dan KLIA Aeropolis boleh menjadi pemangkin kepada usaha menarik pelaburan baharu serta memperluas kluster aeroangkasa negeri.
Beliau berkata pembangunan berkenaan juga selari dengan aspirasi sektor aeroangkasa Selangor di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Ogos lalu.
Di bawah RS-2, aeroangkasa dikenal pasti sebagai antara 25 bidang keutamaan negeri dengan SAP@KLIA Aeropolis dan SARP disenaraikan sebagai projek utama.
Shamsul berkata pembangunan infrastruktur sahaja tidak mencukupi kerana Selangor juga memerlukan rantaian bekalan yang lebih lengkap bagi menyokong pertumbuhan industri.

Rantaian bekalan
Katanya, Selangor sudah mempunyai syarikat Tier 1 termasuk pengeluar peralatan asal (OEM), namun lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diperlukan untuk melengkapkan rantaian bekalan di peringkat seterusnya.
“Kita sudah mempunyai syarikat Tier 1, tetapi yang paling penting ialah melengkapkannya termasuk OEM dengan sokongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Menurutnya, kewujudan pembekal Tier 2, Tier 3 dan Tier 4 penting bagi membentuk ekosistem pembuatan aeroangkasa yang lebih lengkap dan bersepadu.
Pembekal Tier 1 lazimnya membekalkan sistem atau komponen utama terus kepada pengeluar pesawat, manakala pembekal Tier 2 hingga Tier 4 menyediakan komponen, bahan dan perkhidmatan sokongan pada peringkat rantaian bekalan seterusnya.
Shamsul berkata peluang itu tidak seharusnya terhad kepada syarikat tempatan kerana PKS asing yang mempunyai kepakaran khusus juga boleh membuka operasi di Selangor.
“Kita berharap syarikat-syarikat ini juga dapat datang ke Malaysia atau Selangor, sama ada di SAP atau Subang, bagi melengkapi apa yang diperlukan dalam sektor pembuatan aeroangkasa,” katanya.

Naik taraf industri
Dalam aspek pembuatan, Shamsul berkata Selangor perlu terus menyokong pemain utama seperti UMW Aerospace dan CTRM AeroSystems, selain memperbanyakkan PKS tempatan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada dua syarikat ini. Jika kita dapat membangunkan PKS tempatan bersama pelabur strategik lain, mereka juga mampu menyediakan perkhidmatan kepada syarikat di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata Selangor juga perlu menarik pelaburan yang membawa masuk teknologi dan keupayaan lebih maju supaya industri aeroangkasa negeri tidak terus bergantung kepada proses tradisional atau manual.
“Kebanyakan proses yang kita laksanakan masih bersifat tradisional atau secara manual, jadi kita perlu menarik lebih banyak pelabur berkualiti yang mahu memodenkan aktiviti tertentu.
“Jika kita dapat menarik pelabur ini, kita boleh meningkatkan keupayaan ke tahap seterusnya,” katanya.
Shamsul berkata ekosistem aeroangkasa yang lebih lengkap juga membolehkan syarikat di Selangor memanfaatkan kepakaran dan keupayaan antara satu sama lain, sekali gus meningkatkan daya saing negeri dalam menarik aktiviti aeroangkasa bernilai tinggi.
Beliau turut menegaskan pembangunan aeroangkasa Selangor perlu kekal selari dengan dasar Kerajaan Persekutuan, khususnya Blueprint Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).











