SHAH ALAM, 24 NOV: Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 bakal menjadi pemacu utama pengukuhan ekonomi kreatif negeri melalui pendekatan strategik, inklusif dan bersepadu bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Dato’ Menteri Besar berkata pelan komprehensif itu dirangka untuk menempatkan Selangor sebagai hab ekonomi kreatif serantau yang berdaya saing di peringkat global, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pelan tersebut memberi fokus kepada tiga teras utama iaitu digital dan multimedia, seni dan budaya serta warisan kebudayaan yang memastikan pembangunan industri kreatif selari dengan identiti negeri.

“Teras digital dan multimedia merangkumi filem dan televisyen, kandungan digital, periklanan, kandungan imersif seperti AR/VR, seni reka, animasi dan permainan digital.
“Sektor seni dan budaya pula membabitkan seni kraftangan, penulisan kreatif, seni visual, fesyen dan tekstil, muzik, seni masakan serta persembahan.
”Bagi warisan kebudayaan, antara fokusnya ialah muzium, arkib serta pemulihan dan pemuliharaan bahan warisan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan pelan berkenaan di sini hari ini.
Amirudin menambah, pelaksanaan pelan tersebut disokong pelbagai inisiatif seperti pemerkasaan bakat, latihan, pembangunan pasaran serta penambahbaikan dasar bagi memperkukuh ekosistem industri kreatif dan usaha itu dijangka mampu menjana nilai ekonomi sehingga RM20 bilion menjelang 2035.
Sementara itu, EXCO keusahawanan menjelaskan pelan berkenaan diperkukuh melalui beberapa pemboleh daya strategik termasuk inkubator perusahaan kreatif, pembangunan studio dan hab kreatif, perluasan pasaran, peluang eksport, latihan serta penggunaan teknologi digital.
Mohd Najwan Halimi berkata tonggak utama pelaksanaan ialah penubuhan Hab Kemajuan Ekonomi Kreatif Selangor (SEL-CREATE) di setiap daerah sebagai pusat rujukan industri kreatif negeri.

“Hab ini akan menyediakan ruang acara, ruang kerja bersama, fasilitasi perniagaan, peluang pemasaran, program latihan, sokongan perundangan, kewangan dan teknologi. Ia bakal menjadi nadi pertumbuhan ekosistem kreatif Selangor.
“Saya menyeru pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan, korporat dan swasta untuk berganding bahu menjayakan agenda besar ini,” katanya.
Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi meneruskan Ekspo Ekonomi Kreatif serta pembangunan pelan tindakan tersebut.
Selain RM500,000 turut dperuntuk untuk menghidupkan industri seni melalui program dinamik seperti 'gallery hopping' dan pameran bertema sepanjang tahun depan.






