SHAH ALAM, 7 OGOS: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) akan memperkasa Program Mental Sihat yang memberi penekanan terhadap intervensi lebih awal, dibawah Misi Ketiga: Negeri Penyayang dan Berdaya Huni.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh daya tahan kesihatan mental rakyat melalui talian hotline, kempen kesedaran dan perkhidmatan sokongan psikososial berasaskan komuniti.
Selain itu, Amirudin berkata, RS-2 akan memperincikan ekonomi penjagaan kepada kanak-kanak dan warga emas dengan menjamin kos lebih berpatutan selain mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif.
“Kerajaan Negeri akan memperluas akses kepada saringan kesihatan awal bagi penyakit kronik tidak berjangkit dan risiko berkaitan penuaan melalui program Selangor Saring dan Saringan Kesihatan Warga Emas bagi menggalakkan pengesanan awal dan pengubahsuaian gaya hidup.
“Jaringan keselamatan sosial untuk warga emas juga diperkukuh menerusi Khairat Darul Ehsan, Skim Mesra dan Iltizam Emas Selangor bagi menyediakan perlindungan kewangan, dan perkhidmatan penjagaan berasaskan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul RS-2 dengan tema 'Memimpin Pertumbuhan, Memacu Kemakmuran, Menerajui Asean' pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Amirudin menambah, Kerajaan Negeri akan memperluas akses rawatan kesihatan mampu milik kepada golongan B40 melalui Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor, Iltizam Sihat Selangor Penjawat Awam, Skim Rawatan Jantung dan Tuberculosis (tibi).
Menurutnya, institusi keluarga juga akan diperkukuh menerusi program PEKERTI, Kasih Keluarga Ceria, Pemerkasaan Bapa serta pendidikan perkahwinan dan keibubapaan bagi membina keluarga yang berdaya tahan.
Bagi memperkasa ekonomi penjagaan, katanya, rangka kerja undang-undang dan tadbir urus sektor penjagaan melalui Selangor Care Services Enactment akan diwujudkan bagi memastikan pemain industri menyedia perkhidmatan berkualiti.
“Pembiayaan penjagaan janga panjang melalui Tabung Ehsan Penjagaan, Skim Perlindungan Takaful Am Keluarga dan Dasar Tempat Kerja Mesra Keluarga akan dibentuk bagi memastikan keluarga yang menjaga emas, OKU, dan pesakit kronik mendapat perlindungan kewangan mencukupi,” katanya.
Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.








