Pemilik Rocky mahu keadilan, pertimbang ambil tindakan undang-undang

5 Ogos 2026, 12:49 PM
Pemilik Rocky mahu keadilan, pertimbang ambil tindakan undang-undang
Pemilik Rocky mahu keadilan, pertimbang ambil tindakan undang-undang

PETALING JAYA, 5 OGOS: Pemilik anjing Rocky sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab susulan kematian haiwan itu ketika operasi menangkap anjing liar oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 29 Julai lalu.

Peguam Choo Dee Wei yang mewakili Roghini Devi, 42, secara pro bono berkata, anak guamnya masih mendapatkan nasihat perundangan dan belum memutuskan sama ada akan mengambil tindakan sivil atau jenayah.

"Beliau sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan kami sedang menasihatinya pada ketika ini.

"Saya belum boleh memberi jawapan muktamad sama ada 'ya' atau 'tidak' kerana perkara ini masih di peringkat awal," katanya pada sidang media bertajuk Justice for Rocky di Rogues@Gasing, di sini, hari ini.

Dee Wei berkata, pasukan peguam yang dilantik oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) itu turut menemani Roghini ketika memberi keterangan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi memastikan proses berkenaan berjalan dengan sewajarnya.

Katanya, pasukan peguam juga bersedia mewakili Roghini sekiranya terdapat sebarang dakwaan dikenakan terhadapnya.

Haiwan kesayangan keluarga

Pada sidang media sama, Roghini berkata Rocky merupakan haiwan peliharaan yang amat disayangi keluarganya sejak Ogos tahun lalu.

Pemilik Rocky, Roghini Devi, 42, bercakap kepada media pada Sidang Media Justice For Rocky di Rogues@Gasing, Petaling Jaya pada 5 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata, keutamaannya kini ialah mendapatkan keadilan untuk Rocky melalui saluran undang-undang yang sewajarnya, selain menunggu laporan siasatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

"Saya sedang menunggu laporan DVS. Keadilan mesti ditegakkan," katanya.

Hari ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan kertas siasatan berhubung kematian Rocky ketika operasi MBDK telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam (4 Ogos).

Sementara itu, Presiden SAFM Kalaivanan Ravichandran berkata pertubuhan itu tidak bertujuan menentukan pihak yang bersalah, sebaliknya mahu memastikan siasatan dijalankan secara adil dan telus.

Menurutnya, garis panduan penangkapan anjing liar menetapkan haiwan perlu ditangkap secara berperikemanusiaan dan tidak boleh ditarik, diseret atau diangkat menggunakan gelung penjerut.

"Ketiadaan lesen tidak memberi hak kepada sesiapa untuk menyebabkan haiwan mengalami kesakitan dan penderitaan yang tidak perlu," katanya.

Beliau berkata, walaupun isu pelesenan anjing menjadi tanggungjawab pemilik, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk berlaku kezaliman terhadap haiwan.

Kalaivanan turut menggesa MBDK menjelaskan sama ada operasi melibatkan Rocky mematuhi garis panduan penangkapan anjing liar secara berperikemanusiaan, termasuk kaedah serta peralatan yang digunakan.

Selain itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) pengurusan haiwan terbiar, selain meminta polis dan DVS menjalankan siasatan secara telus.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.