Kes 'Rocky': Kertas siasatan dirujuk kepada TPR dalam masa terdekat

3 Ogos 2026, 10:52 AM
Kes 'Rocky': Kertas siasatan dirujuk kepada TPR dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing dikenali sebagai "Rocky" semasa operasi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata proses melengkapkan bukti dan keterangan berkaitan kini sedang giat dijalankan sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada TPR untuk arahan serta tindakan lanjut.

"Polis telah pun membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Kami memberi jaminan penuh siasatan akan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan berlaku satu perhimpunan melibatkan sekumpulan individu di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 10.15 malam tadi (2 Ogos).

Menurutnya, hasil pemantauan polis mendapati perhimpunan itu berlangsung secara aman di bawah tema "Justice for Rocky" bagi mendesak tindakan susulan kematian seekor anjing berkenaan ketika operasi tangkapan anjing liar oleh MBDK.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak berkumpul di premis atau bangunan kerajaan kerana tindakan sedemikian boleh mengganggu kelancaran operasi harian perkhidmatan awam serta aliran trafik di kawasan sekitar," katanya.

Jit Huey turut menggesa semua pihak supaya bertenang dan memberi ruang sepenuhnya kepada proses perundangan yang sedang berjalan.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kelancaran siasatan," katanya.

Terdahulu, MBDK menegaskan operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Klang baru-baru ini dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Datuk Bandarnya Dato' Abd Hamid Hussain berkata operasi itu dijalankan susulan banyak aduan diterima daripada penduduk berhubung ancaman anjing liar terhadap keselamatan awam, termasuk satu kemalangan yang menyebabkan mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.