MBDK pelawa usahawan berniaga sempena SUKMA 2026

3 Ogos 2026, 2:00 PM
MBDK pelawa usahawan berniaga sempena SUKMA 2026

SHAH ALAM, 3 OGOS: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mempelawa usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memohon tapak jualan sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos ini.

MBDK memaklumkan permohonan dibuka mulai hari ini hingga 12 Ogos menerusi portal www.mylesen.mbdk.gov.my.

Menurut MBDK, peluang itu melibatkan jualan makanan dan minuman menggunakan kenderaan saji (food truck) atau khemah, tertakluk kepada lokasi yang ditetapkan.

Antara lokasi yang ditawarkan ialah Padang Sultan Suleiman bagi acara ragbi dari 20 hingga 23 Ogos, Stadium Hoki Pandamaran bagi acara hoki dari 15 hingga 23 Ogos serta Dewan Bukit Raja bagi acara ping pong dari 18 hingga 23 Ogos.

MBDK memaklumkan pemilihan peniaga dibuat berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, selain jumlah tapak yang disediakan adalah terhad.

"Jangan lepaskan peluang untuk mengembangkan perniagaan anda dengan menyertai Tapak Jualan SUKMA Selangor 2026 yang bakal menghimpunkan ribuan atlet, pegawai, penyokong dan pengunjung.

"Marilah bersama menyokong SUKMA Selangor 2026 sambil memperkasakan ekonomi usahawan tempatan," menurut kenyataan itu.

SUKMA 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan pada 5 hingga 14 September.

Temasya itu bakal mempertandingkan 469 acara melibatkan 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA mempertandingkan 316 acara daripada 10 jenis sukan.

Majlis pembukaan SUKMA 2026 pula dijadual berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dalam suasana sederhana, namun tetap meriah.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.