Kertas siasatan kes kematian anjing ketika operasi MBDK dirujuk kepada TPR

5 Ogos 2026, 9:38 AM
Kertas siasatan kes kematian anjing ketika operasi MBDK dirujuk kepada TPR

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kertas siasatan berhubung kematian seekor anjing dikenali sebagai "Rocky" semasa operasi Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) semalam (4 Ogos).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada TPR berhubung kes berkenaan.

"Kertas siasatan kes Rocky telah dirujuk ke TPR semalam. Tunggu arahan lanjut," katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.

Sebelum ini, beliau memaklumkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan serta melengkapkan bukti dan keterangan sebelum mengemukakannya kepada TPR.

Beliau turut memberi jaminan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

Kes itu mendapat perhatian selepas "Rocky" dilaporkan mati ketika operasi menangkap anjing liar yang dijalankan MBDK di Taman Teluk Gedung Indah, Klang.

Mengulas insiden berkenaan, MBDK menjelaskan operasi itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Datuk Bandar Klang Dato' Abd Hamid Hussain berkata, tindakan itu diambil susulan banyak aduan penduduk mengenai ancaman anjing liar terhadap keselamatan awam, termasuk satu kemalangan yang menyebabkan mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.