Polis buka siasatan kes kematian anjing ketika operasi MBDK

1 Ogos 2026, 12:43 AM
Polis buka siasatan kes kematian anjing ketika operasi MBDK

SHAH ALAM, 1 OGOS: Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan berhubung kematian seekor anjing dalam kejadian di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang yang rakaman videonya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 malam pada 29 Julai ketika operasi gotong-royong menangkap anjing liar yang dijalankan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dengan bantuan penduduk taman berkenaan.

Menurutnya, rakaman yang tersebar memaparkan sekumpulan lelaki mengikat dan menarik seekor anjing, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya haiwan itu dilepaskan.

"Saya mengesahkan satu kejadian yang rakaman videonya sedang tular di media sosial melibatkan operasi gotong-royong tangkapan anjing liar oleh MBDK dengan bantuan penduduk taman berkenaan.

"Anjing berkenaan disahkan mati selepas kejadian sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Jabatan Veterinar Selangor bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Lim Jit Huey.

Jit Huey berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.

"Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terus menularkan rakaman video kejadian di media sosial kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat setempat.

Terdahulu, MBDK memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden berkenaan.

Menurut MBDK, operasi tangkapan anjing liar itu dijalankan dari jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam susulan aduan rasmi penduduk mengenai gangguan keselamatan akibat kebanjiran anjing liar di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil 17(1), Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPK 2007 dengan sokongan Jawatankuasa Kesihatan, Kemasyarakatan dan Pembangunan Mampan (JKKPM), selain dimaklumkan kepada ahli majlis kawasan.

MBDK turut mendakwa seorang daripada individu di lokasi kejadian bertindak agresif dengan cuba memotong tali loop menggunakan sebilah pisau serta mengugut untuk mencederakan diri sendiri sekiranya anjing itu tidak dilepaskan.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa tempatan berkenaan membuat laporan polis berhubung dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta ancaman menggunakan senjata tajam bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, MBDK menzahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku dan menegaskan pihaknya komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara profesional, berhemah serta mematuhi piawaian kebajikan haiwan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.