SHAH ALAM, 5 OGOS: Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 dibentangkan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini bagi memperkukuh kerangka perundangan Islam di negeri ini.
EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, pindaan itu bukan bertujuan mengubah dasar agama Islam di Selangor, sebaliknya memperkemas peruntukan sedia ada agar pelaksanaannya lebih teratur, berkesan dan selaras dengan keperluan pentadbiran dan perkembangan perundangan syariah.
"Cadangan ini merangkumi beberapa perkara utama antaranya menjelaskan kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyediakan perkhidmatan bantuan guaman syarie dan sebagai pengantara kepada masyarakat Islam.
"Ia juga dapat menyusun semula struktur perundangan dan pengasingan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah, selain menambah baik beberapa peruntukan tatacara pembuatan fatwa supaya selaras dengan pentadbiran peringkat kebangsaan.

"Usul juga memperuntukkan kuasa MAIS untuk bertindak sebagai pempetisyen atau pemohon dalam prosiding pembahagian harta pusaka orang Islam selaras dengan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022," katanya ketika membentangkan usul itu.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata perkhidmatan bantuan guaman syarie ketika ini hanya bersandarkan kuasa umum MAIS, manakala tatacaranya masih bergantung kepada prosedur pentadbiran dalaman.
Katanya, pentadbiran berkenaan belum disokong oleh kerangka perundangan khusus sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Bantuan Guaman 1971 (Akta 26).
"Pegawai MAIS juga telah lama menjalankan prosiding di Mahkamah Syariah bagi pihak MAIS berdasarkan Seksyen 80 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
"Namun demikian, kuasa tersebut pada masa ini hanya dilaksana melalui penentuan secara pentadbiran tanpa adanya peruntukan yang memperinci tatacara pelantikan, skop kuasa serta perlindungan liabiliti pegawai yang melaksanakan fungsi berkenaan," katanya.
Selain itu, beliau berkata RUU berkenaan turut mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap tatacara pembuatan fatwa supaya selaras dengan amalan semasa, khususnya dari aspek penyelarasan dengan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan.






