SHAH ALAM, 5 OGOS: Wanita warga emas berdepan detik cemas apabila diikat, disumbat mulut dan diacu pisau oleh dua lelaki yang memecah masuk kediamannya di Taman Desa, Kuala Lumpur tengah malam semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 77 tahun yang tinggal bersendirian tidak mengalami kecederaan fizikal, namun kerugian wang tunai kira-kira RM20,000.
Anak saudara mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 58, berkata dua suspek bersenjatakan pisau itu menceroboh bilik tidur mangsa di tingkat atas sebelum mengejutkannya.
Menurutnya, suspek mengikat tangan mangsa menggunakan pita pelekat hitam dan menyumbat mulut wanita itu bagi mengelakkannya meminta pertolongan.
"Seorang daripada suspek turut mengacukan pisau dan mengugut ibu saudara saya supaya tidak melawan atau membuat bising," katanya, lapor Berita Harian.
Lee berkata mangsa yang ketakutan sempat melarikan diri ke dalam bilik air dan mengunci pintu, namun suspek bertindak menendang pintu berkenaan sebelum mengheret mangsa keluar dan mengikat kakinya.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kemudian memaksa mangsa yang juga penjaga kuil menunjukkan lokasi barang berharga sebelum menggeledah seluruh rumah.
Katanya, suspek memakai penutup muka penuh yang hanya menampakkan bahagian mata, namun mangsa mengesyaki mereka berketurunan India selepas mendengar perbualan dalam bahasa Tamil ketika salah seorang membuat panggilan telefon.
Menurut Lee, suspek turut merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah berkenaan sebelum melarikan diri. Mangsa kemudian menghubunginya pada jam 1.45 pagi sebelum beliau membawa wanita itu membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV bagi mengenal pasti suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (samun berkumpulan) dan Seksyen 397 akta sama iaitu samun bersenjata.







