SHAH ALAM, 30 OKT: Tiga kanak-kanak Rohingya warga Myanmar didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita berusia 71 tahun di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam minggu lalu.
Ketiga-tiganya, masing-masing berusia 11 dan 12 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan buat kali kedua di hadapan Majistret Roshayati Radellah, lapor BH Online.
Mereka didakwa secara bersama mengugut untuk mencederakan mangsa menggunakan beberapa objek, termasuk mop, batang besi, lampu kalimantang putih dan batu, di hadapan sebuah rumah di Tingkat Binjai Empat Belas, kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan mencadangkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan, selain meminta dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.
Beliau turut memohon supaya mereka melaporkan diri di balai polis setiap dua minggu serta tidak menghubungi atau mengganggu mangsa dan keluarganya.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain memohon jaminan dipertimbangkan berdasarkan usia tertuduh dan keadaan keluarga mereka.
Katanya, dua daripada kanak-kanak itu masih bersekolah, manakala seorang lagi tidak bersekolah. Dua ibu tertuduh merupakan suri rumah, sementara seorang lagi bekerja di kilang. Bapa mereka pula bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM100 sehari.
Mahkamah menolak permohonan jaminan dan menetapkan 10 November ini untuk penyerahan dokumen serta pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membacakan semula pertuduhan.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu dilihat menangis bersama ibu bapa masing-masing selepas keputusan berkenaan.
Pada 27 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menegur sekumpulan kanak-kanak yang membuat bising ketika bermain di taman permainan berhampiran. Wanita itu kemudian dibaling batu dan batang besi. Walaupun tidak cedera, mangsa ketakutan sebelum membuat laporan polis.







