SHAH ALAM, 26 OKT: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas diharap dapat memperluas peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran golongan itu sebagai persediaan menghadapi cabaran negara menuju status negara tua.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata penggubalan RUU berkenaan merupakan anjakan paradigma penting ke arah pendekatan berasaskan hak dan pemerkasaan warga emas.
“Penggubalan RUU ini merupakan satu anjakan paradigma yang sangat penting ke arah pendekatan berasaskan hak dan pemerkasaan.
“RUU ini amat kritikal sebagai jaring keselamatan perundangan yang mengiktiraf hak warga emas dari segi perlindungan, maruah, sokongan keluarga dan penglibatan saksama dalam masyarakat,” katanya kepada Media Selangor.
Anfaal berkata antara fokus utama yang perlu diberi perhatian termasuk perlindungan kesihatan secara holistik, perlindungan undang-undang, pembangunan kerangka ekonomi serta peningkatan kemahiran pekerja.
Katanya, pembangunan kerangka ekonomi dan peningkatan kemahiran penting bagi membuka ruang kepada warga emas untuk terus menyumbang dalam sektor pekerjaan selaras dengan perubahan keperluan tenaga kerja dalam negara yang semakin menua.
Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Selangor berharap RUU berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada kerjasama lebih erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperkukuh agenda warga emas.
Beliau berkata kerangka tersebut juga diharap dapat memperkasa pembuat dasar serta pelaksana, di samping menggalakkan inovasi menerusi kerjasama sektor swasta dan komuniti bagi memenuhi keperluan warga emas.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan agenda warga emas tidak hanya tertumpu kepada kebajikan dan perlindungan, malah turut merangkumi peluang untuk terus aktif, meningkatkan kemahiran serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Sebelum ini, Ahli Majlis Penasihat dan Perundingan Warga Emas Negara, Tan Sri Lee Lam Thye berkata Malaysia perlu menyegerakan RUU Warga Emas yang komprehensif bagi memperkukuh hak, perlindungan dan kebajikan golongan berkenaan.
Lam Thye yang juga aktivis sosial berkata individu berusia 60 tahun ke atas kini merangkumi kira-kira 12 peratus daripada populasi Malaysia, sekali gus menuntut komitmen negara yang lebih kukuh terhadap penuaan sihat, penjagaan dan perlindungan sosial.







