373 pengerusi JPKK Selangor ditawar sertai kursus Mediator Komuniti

5 Ogos 2026, 6:45 AM
373 pengerusi JPKK Selangor ditawar sertai kursus Mediator Komuniti

SHAH ALAM, 5 OGOS: Semua 373 pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) ditawar menyertai kursus asas Mediator Komuniti (MK) yang menjadi platform pendamai dalam menyelesaikan konflik masyarakat.

EXCO Perpaduan Dato’ Rizam Ismail berkata kursus anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) itu membolehkan pesertanya menjadi orang tengah membantu pihak-pihak yang berkonflik untuk mencapai kesepakatan bersama.

“Mana-mana ketua kampung tradisi yang berminat dan berpotensi, bolehlah memohon untuk mengikuti lanjutan kursus pentauliahan sebagai MK.

"Kerjasama strategik ini juga dapat memperkasa peranan mereka sebagai ejen pendamai pertikaian dalam kalangan masyarakat, tanpa memanjangkan isu kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Rizam berkata kursus berkenaan turut ditawar kepada seluruh Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan peserta akan ditauliah serta menerima sijil.

“Sempena sambutan Bulan Kebangsaan ini pada bulan ini, saya menyeru warga Rumpun Selangor terus bersatu hati sebagai bangsa Malaysia yang cintakan perpaduan dan menggalakkan lebih banyak program memupuk semangat patriotisme dianjurkan di peringkat akar umbi termasuklah peringkat DUN masing-masing,” katanya.

Sempena sambutan Hari Wesak pada Mei lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan latar belakang terus memelihara semangat saling menghormati, bertoleransi dan hidup dalam suasana harmoni yang menjadi asas kekuatan negara ini.

Menerusi perutusan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bertitah kepelbagaian yang wujud bukanlah satu perbezaan yang memisahkan, sebaliknya merupakan khazanah yang mesti dipertahankan sebagai tonggak perpaduan negara.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.