Ketua Kampung laksana amanah, elak penyelewengan maklumat - MB Selangor

9 Feb 2026, 4:51 AM
Ketua Kampung laksana amanah, elak penyelewengan maklumat - MB Selangor
Ketua Kampung laksana amanah, elak penyelewengan maklumat - MB Selangor

SHAH ALAM, 9 FEB: Semangat berkhidmat secara ikhlas kepada masyarakat perlu menjadi pegangan utama setiap ketua kampung di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, keikhlasan dalam memikul amanah itu harus lahir daripada kefahaman terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai ketua kampung, bukan sekadar kerana jawatan.

“Kalau kita tidak mulakan dengan ikhlas, kita akan mula pertikaikan macam-macam. Untuk mencapai keikhlasan ini, harus dimulakan dengan kefahaman, faham tentang peranan sebagai ketua.

“Ambil peranan itu sebaik mungkin. Kalau kita mulakan dengan ikhlas, diikuti dengan kefahaman, kita akan jadi ketua yang baik. Ada yang berebut mahu jadi ketua, tapi apabila dilakukan tidak ikhlas, mereka hanya akan buat separuh jalan sahaja,” katanya berucap.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) 2025 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK 2026/2027 di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) di sini, malam tadi.

Majlis yang meraikan lebih 200 pemimpin tempatan itu turut dihadiri EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengingatkan ketua kampung agar berperanan sebagai penghubung yang berkesan dalam menyampaikan maklumat sahih kepada masyarakat bagi mengelakkan kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.

“Anda bukan hanya mewakili kampung sahaja, tetapi juga meeupakan pemimpin negeri. Kalau ada apa-apa yang perlu dijelaskan, anda perlu bantu perjelaskan kepada masyarakat.

“Dalam hidup kita ini banyak sangat penyelewengan maklumat. Jangan pula kita terikut-ikut. Kalau tidak tahu, tanya. Sebab jawatan ini adalah amanah, amanah untuk kita tadbir negeri,” katanya.