ad

JPKK jalani simulasi banjir, didedah kaedah pemetaan depani musim tengkujuh

15 Okt 2025, 10:26 AM
JPKK jalani simulasi banjir, didedah kaedah pemetaan depani musim tengkujuh
JPKK jalani simulasi banjir, didedah kaedah pemetaan depani musim tengkujuh
JPKK jalani simulasi banjir, didedah kaedah pemetaan depani musim tengkujuh
JPKK jalani simulasi banjir, didedah kaedah pemetaan depani musim tengkujuh

SHAH ALAM, 15 OKT: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar Klang yang menyertai latihan banjir pada Mei lalu didedahkan dengan kaedah pemetaan sebagai persediaan susulan perubahan monsun.

Ketua penolong pegawai daerah Klang berkata simulasi mengikut modul latihan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut melibatkan ketua kampung baharu serta ketua komuniti India.

Bagaimanapun Azniza Azmi menjelaskan, simulasi berkenaan belum dibuat di mana-mana kampung susulan kekangan masa serta tenaga. Berikutan itu pihaknya merancang menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.

“Latihan ini merangkumi kesiapsiagaan komuniti dan penduduk sebelum, ketika dan selepas banjir. Dalam latihan ini penduduk didedahkan dengan kaedah pemetaan termasuk cara menyelamatkan mangsa.

“Setakat hari ini, setiap JPKK sudah dalam perancangan untuk mendapatkan peta sebenar kawasan kampung untuk tahu keutamaan mereka termasuk kawasan rendah, tempat berkumpul dan penduduk terlantar, mana yang mahu kita keluarkan dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi antara saksi ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berkaitan perkembangan terkini usaha menangani masalah banjir di Klang.

Azniza berkata pihaknya turut menjalani latihan menyelamat di air menggunakan bot dibekalkan Kerajan Negeri tahun lalu sebagai persediaan sebenar membantu mangsa banjir.

“Untuk tahun ini pendekatan kita lebih kepada nak menyedarkan masyarakat berkenaan sistem Jabatan Kebajikan Masyarakat berhubung pendaftaran mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Program ini dijalankan dua minggu lepas melibatkan penduduk di kawasan Meru dan Klang,” katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Klang Amri Ismail berkata pihaknya telah bersiap siaga berdepan banjir termasuk memastikan segala aset, kenderaan dan fasiliti untuk dijadikan PPS dalam keadaan baik.

“Setakat ini semua keperluan dalam keadaan bersedia dan boleh dikerah bila-bila masa sekiranya berlaku kejadian bencana. Semalam ada kejadian ribut di Meru dan kita buka satu PPS untuk tempatkan mangsa,” katanya.