Bekas pegawai Petronas dinobat Ikon Ketua Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2025

9 Feb 2026, 1:18 AM
Bekas pegawai Petronas dinobat Ikon Ketua Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2025

SHAH ALAM, 9 FEB: Pengalaman bekerja sebagai pegawai pemasaran di Petronas Dagangan Bhd menjadi antara rahsia kejayaan Zulkifli Hamzah sehingga dinobatkan sebagai Ikon Ketua Kampung Tradisi Terbaik 2025.

Bekas Ketua Kampung Sungai Tua Baharu, Gombak itu berkata, pendekatan pengurusan yang dipelajarinya dalam sektor korporat diterapkan ketika mentadbir kampung, termasuk menilai prestasi setiap jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) serta menyediakan insentif kepada ahli yang melaksanakan tugas dengan baik.

“Saya pernah berkhidmat di Petronas. Di sana, kita bekerja dengan perancangan strategi, petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang jelas. Semua pendekatan itu saya bawa ke dalam pentadbiran kampung.

“Setiap pencapaian ada ukuran dan ahli jawatankuasa tahu tahap prestasi masing-masing. Di hujung tahun, kita sediakan ganjaran supaya mereka rasa dihargai dan lebih komited membantu kepimpinan kampung,” katanya.

Anugerah Khas Ikon Ketua Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor 2024/2025 Zulkifli Hamzah di Majlis Apresiasi JPKK 2025 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengurusi JPKK Negeri Selangor Sesi 2026/2027 di IDCC Shah Alam pada 8 Februari 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Zulkifli, 64, berkata sejak dilantik sebagai ketua kampung pada 2022, beliau melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan ekonomi penduduk menerusi program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI).

Beliau turut menyifatkan kejayaan Kampung Sungai Tua Baharu memenangi Anugerah Amalan Perancangan Terbaik (APT) oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) tahun lalu sebagai antara kenangan paling bermakna sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Pesanan saya kepada ketua kampung baharu, jangan jemu belajar dan sentiasa rajin berusaha. Kalau kita rajin, ramai pihak akan datang membantu,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Zulkifli diraikan pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) 2025 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK 2026/2027 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, beliau menerima wang tunai RM3,000 dan plak penghargaan yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.