SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri bakal memperkenalkan garis panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pembangunan teknologi itu dilaksanakan secara lebih tersusun.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, garis panduan itu akan diperkenalkan menerusi Kertas Putih AI yang disediakan dalam tiga fasa meliputi kajian, penanda aras serta pembangunan Digital Government Playbook.
Menurutnya, selepas proses penyediaan selesai, Kertas Putih AI itu akan dibentangkan termasuk di Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk dibahaskan.
"Kertas putih ini menyentuh pengalaman kita dalam sosial media. Sebelum ini kita tak ada garis panduan, etika atau mengetahui cabarannya dan sebahagian kita jadi mangsa media sosial.
"Justeru AI masuk kepada kita dengan menyedari kebaikan dan cabarannya. Jadi Kertas Putih ini akan menggariskan keseluruhan bidang AI supaya kita faham kajiannya, tambah nilainya.

"Ini akan jadi garis panduan di Selangor, bagaimana kita berdepan dan berinteraksi dengan AI," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang, Dr Quah Perng Fei pada sidang DNS di sini, hari ini.
Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga merancang melancarkan tujuh aplikasi baharu yang dibangunkan menerusi program Teraju AI 2.0 sebagai kesinambungan fasa pertama bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, pembangunan aplikasi itu membabitkan kira-kira 50 peserta daripada tujuh jabatan yang bersama-sama membangunkan penyelesaian berasaskan AI mengikut keperluan perkhidmatan kerajaan.
"Fasa kedua telah dirancang untuk bolehkan sistem secara langsung (go-live) digunakan menyeluruh. Jadi tujuh aplikasi baharu ini akan dilancar dan diperkenalkan kepada rakyat.
"Contohnya Media Selangor. Gunakan AI untuk pencarian berita atau topik tertentu. Kalau dulu tak guna aplikasi AI tapi sekarang gunakan kaedah SEIRA (Selangor Intelligence Rakyat Assistance) dan NISA," katanya.








