KUALA LUMPUR, 12 NOV: Media Selangor memperkenalkan produk terbaharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) dinamakan SEIRA (Selangor Intelligence Rakyat Assistance) sempena Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025.
Pengurus Kanan Digitalisasinya, Ahmad Husnuddin Mohd Zawai berkata SEIRA merupakan pembantu pintar AI pertama dibangunkan khusus untuk Media Selangor bagi membantu rakyat negeri ini mendapatkan maklumat yang tepat, terperinci dan tersusun.
“Produk ini dipacu oleh platform carian pintar AI yang diintegrasikan dengan maklumat dalam portal berita Media Selangor serta data rasmi daripada Kerajaan Negeri termasuk dokumen dan laporan daripada agensi berkaitan.
“Melalui SEIRA, rakyat boleh mengakses maklumat berkaitan polisi Kerajaan Negeri, inisiatif pihak berkuasa tempatan, tindakan Ahli Dewan Negeri serta berita dan aktiviti komuniti dengan lebih mudah dan pantas,” katanya ketika ditemui pada sidang kemuncak itu.

Ahmad Husnuddin menjelaskan pembangunan SEIRA adalah sebahagian daripada usaha Media Selangor meneroka inovasi digital baharu bagi memperkukuh penyampaian maklumat dan perkhidmatan pintar kepada rakyat.
Terdahulu, acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11-12 November itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Selangor mencipta sejarah sebagai Kerajaan Negeri pertama di Malaysia menganjurkan acara teknologi bertaraf antarabangsa, Sidang Kemuncak Selangor Techsphere, dengan sokongan rasmi pameran perdagangan dunia terkenal Hannover Messe.
Acara itu bertujuan memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab utama teknologi dan bakat di Asia Tenggara.





