KUALA SELANGOR, 6 NOV: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan pengurusan Masjid At-Taufiqiah di Bandar Seri Coalfields bagi menentukan sama ada masjid itu perlu dipindahkan atau dikekalkan dengan kerja menaik taraf susulan tujuh kejadian banjir sejak 2021.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua pilihan itu akan diteliti bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah banjir berulang yang menjejaskan keselamatan dan keselesaan ahli kariah.

“Saya perlu berbincang dengan pihak Masjid At-Taufiqiah nanti. Sebab sudah tujuh kali (banjir) sejak 2021. Sama ada kita perlu tinggikan masjid atau pindahkan masjid tersebut kerana tempat itu sentiasa jadi titik rendah.
“Sebab itu ada orang bertanyakan kenapa tidak hujan tetapi air naik. Itu adalah limpahan dari Sungai Subang dan kemudian mengalir ke Merbau Sempak, dan akhirnya ke Sungai Buloh dan sampai ke berhampiran masjid,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat daripada Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan dan agensi teknikal serta meninjau kolam tadahan air di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, hari ini.
Sementara itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada hujung minggu ini.
Menurutnya, semua agensi berkaitan, khususnya pasukan pengurusan bencana, diarahkan mempergiat pemantauan di kawasan pesisir pantai yang berisiko dilanda banjir.
“Tahap tertinggi (air pasang) adalah lebih 5 meter. Semalam pun sudah berlaku sebenarnya tetapi tidak terlalu tinggi. Kejadian banjir pada 2021 adalah pada kadar air pasang 4.5 ke 4.6 meter dengan (taburan) hujan tinggi.
“Kita telah ingatkan seluruh kawasan pesisir untuk lakukan pemantauan,” katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan fenomena air pasang besar dijangka berlaku di Pelabuhan Klang dari 7 hingga 11 November, dengan paras air laut diramal mencecah 5.2 meter pada Ahad ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang, paras tertinggi itu dijangka direkodkan pada jam 5.02 pagi, 8 November, sekali gus berada dalam kategori amaran.







