Daerah Petaling, Klang kekal lokasi panas denggi di Selangor

4 Ogos 2026, 1:55 PM
Daerah Petaling, Klang kekal lokasi panas denggi di Selangor

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Daerah Petaling dan Klang kekal sebagai lokasi panas denggi di Selangor, dengan Kerajaan Negeri mempergiat langkah pencegahan susulan peningkatan kes di negeri itu.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata perubahan cuaca serta kemunculan subvarian DEN-3 antara faktor yang menyumbang kepada penularan denggi sejak kebelakangan ini.

“Terdapat peningkatan kes apabila kita memasuki musim yang berbeza, dan varian baharu itu turut menyumbang kepada penularan yang lebih meluas,” katanya kepada Media Selangor selepas merasmikan Majlis Anugerah Kempen Bumi 2026 di MAHSA Avenue di sini, hari ini.

Pada 10 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan Selangor terus merekodkan jumlah kes denggi tertinggi di negara ini dengan 19,313 kes bagi tempoh Januari hingga 9 Julai, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, Selangor turut mencatatkan 21 kematian akibat penyakit itu berbanding lima kematian dalam tempoh sama pada 2025.

Pada Jun lalu, Jamaliah memaklumkan kemunculan subvarian DEN-3 yang kini dominan dikenal pasti antara faktor yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes denggi tahun ini, selain tahap imuniti masyarakat yang lebih rendah terhadap serotip berkenaan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kempen Bumi 2026 di MAHSA Avenue, Petaling Jaya pada 4 Ogos 2026. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Bagi menangani situasi itu, beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM4 juta tahun ini bagi melaksanakan program kesedaran, gotong-royong komuniti serta inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT).

Walaupun kawalan denggi berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Jamaliah berkata Kerajaan Negeri terus menyokong usaha berkenaan menerusi pelbagai inisiatif yang dibiayai kerajaan negeri.

“Peruntukan (RM4 juta) itu digunakan untuk menganjurkan gotong-royong komuniti, kempen kesedaran serta menyediakan dana kepada pihak berkuasa tempatan supaya mereka dapat melaksanakan kerja pembersihan dan aktiviti pendidikan awam bersama penduduk.”

Beliau berkata kempen kesedaran yang dijalankan kini turut menggalakkan orang ramai mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala denggi, khususnya mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, pengesanan awal dan rawatan segera amat penting bagi mengurangkan kes denggi serius serta mengelakkan kematian.

“Ada pesakit yang lewat mendapatkan rawatan kerana memandang ringan gejala yang dialami sehingga keadaan mereka menjadi semakin teruk dan dalam sesetengah kes membawa kepada kematian.

“Kita mahu memastikan tiada nyawa terkorban akibat denggi. Antara mesej paling penting yang ingin kita sampaikan ialah orang ramai tidak boleh memandang ringan gejala denggi.

“Sekiranya mengalami simptom, segera dapatkan rawatan,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.