SHAH ALAM, 3 FEB: Kes demam denggi di Selangor mencatatkan penurunan 3.3 peratus pada Januari tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 1,719 kes demam denggi direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 3 bagi tempoh 18 hingga 24 Januari 2026, iaitu penurunan 59 kes berbanding 1,778 kes pada ME yang sama tahun lalu.
Menurut beliau, penurunan kes ini meneruskan trend positif yang dicatatkan pada 2025 apabila Selangor merekodkan penurunan sebanyak 61 peratus kes demam denggi berbanding 2024.
“Selain itu, jumlah kematian akibat denggi turut menurun apabila hanya sembilan kematian dilaporkan pada 2025 berbanding 16 kes pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan usaha intervensi dan pencegahan yang digerakkan oleh Kerajaan Negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta komuniti adalah berkesan.
“Namun, kita tidak mahu angka ini kembali meningkat dan berharap penurunan yang lebih drastik dapat dicapai pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Jamaliah menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital sekiranya mengalami demam berpanjangan atau gejala yang mencurigakan.
Beliau turut menyeru komuniti setempat agar memainkan peranan aktif dengan melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes secara berkala di kawasan kediaman masing-masing.
Antara langkah disarankan termasuk meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit seminggu membersihkan persekitaran, meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik di takungan air serta membuat pemeriksaan berkala.
“Orang ramai juga digalakkan memakai alat pelindung diri seperti repelan nyamuk, pakaian berlengan dan berseluar panjang berwarna cerah serta menggunakan semburan aerosol di rumah bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk.
“Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa. Jangan ambil mudah dan dapatkan rawatan segera sekiranya ada simptom demam denggi,” katanya.


