Selangor rekod 15,549 kes denggi, subvarian DEN-3 antara faktor peningkatan

21 Jun 2026, 8:00 AM
Selangor rekod 15,549 kes denggi, subvarian DEN-3 antara faktor peningkatan

SHAH ALAM, 21 JUN: Selangor merekodkan 15,549 kes denggi bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Jun lalu, meningkat 29.9 peratus berbanding 11,970 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata, perubahan dominasi subvarian DEN-3 dikenal pasti antara faktor yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Katanya, tahap imuniti masyarakat yang lebih rendah terhadap serotip berkenaan berkemungkinan menjadi antara punca pertambahan jangkitan.

"Perubahan ini berpotensi menyumbang kepada peningkatan kes kerana tahap imuniti masyarakat terhadap serotip terbabit mungkin lebih rendah.

"Namun, peningkatan kes denggi juga didorong hasil gabungan pelbagai faktor termasuk keadaan cuaca, kepadatan populasi nyamuk Aedes serta tahap kawalan pembiakan nyamuk di lapangan," katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Pelancaran Komuniti Bersih, Indah dan Sihat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang 2026 di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), hari ini.

Menurutnya, sebanyak 1,242 kes denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 23 bagi tempoh 7 hingga 13 Jun lalu, meningkat 28.3 peratus berbanding 968 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Dalam tempoh sama, Selangor merekodkan 15 kematian akibat denggi dengan kadar kes kematian (CFR) sebanyak 0.09 peratus berbanding empat kematian dan CFR 0.03 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MPAJ Hasrolnizam Shaari berkata sebanyak 748 kes denggi direkodkan di Ampang Jaya bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Jun lalu.

Katanya, terdapat 13 lokaliti wabak denggi terkawal di daerah itu termasuk Taman Keramat, Kampung Melayu Ampang, Taman Melawati, Taman Sri Raya, Taman Bukit Indah, Taman Ukay Perdana dan Kampung Ampang Campuran.

"Di daerah ini, terdapat satu lokaliti hotspot bagi kes denggi iaitu Kampung Bukit Sungai Puteh.

"Secara keseluruhannya, kes denggi di daerah ini adalah terkawal," katanya.

Beliau berkata MPAJ menerima peruntukan RM228,500 daripada Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor bagi melaksanakan Program Kawalan dan Pencegahan Demam Denggi.

Menurutnya, peruntukan itu digunakan untuk tindakan penguatkuasaan, program pendidikan kesihatan, promosi kesedaran awam serta pengaktifan pasukan sukarelawan Communication for Behavioural Impact (COMBI) dalam komuniti.

Selain itu, beliau berkata MPAJ memperkenalkan program Kopi dan COMBI bagi menggalakkan orang ramai menyertai usaha membasmi denggi melalui aktiviti pembersihan kawasan dan kitar semula.

"Setiap isi rumah yang membersihkan kediaman mereka daripada tempat pembiakan Aedes dan membawa barangan kitar semula pada kadar minimum lima kilogram (kg) ke kaunter 'Trash to Cash' boleh menebus secawan kopi di kaunter disediakan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.