SHAH ALAM, 13 APRIL: Dua lokaliti baharu dikenal pasti sebagai hotspot denggi di daerah Klang dengan 20 kes direkodkan setakat ini.
Pengarah Kesihatan Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) Azmi Muji berkata kawasan terlibat ialah Jalan Yadi, Kampung Sungai Udang yang merekodkan 15 kes.
Selain itu, Jalan Sri Banang 11 hingga 13 di Taman Sri Andalas mencatatkan lima kes.
Beliau berkata, antara kes di Kampung Sungai Udang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang kini dirawat di hospital.
“Selain itu, lima lagi kanak-kanak perempuan berusia antara empat hingga 14 tahun serta dua remaja lelaki berusia 12 dan 16 tahun turut mendapatkan rawatan,” katanya seperti dilapor Star Metro.
Di Taman Sri Andalas pula, kes melibatkan seorang bayi berusia 10 bulan, tiga remaja berusia 15 hingga 17 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya turut menerima laporan kes denggi di Kampung Rantau Panjang membabitkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Jalan Genting pada 10 April lalu.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBDK, Rasyidah Ain Mohamad Soib berkata operasi kawalan terus dipergiat di kawasan terjejas.
“Seramai lapan petugas terlibat dalam operasi semburan kabus serta pembuangan bekas air bertakung seperti tayar dan botol plastik.
“Kami juga mempertingkatkan pemeriksaan bagi mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk selain menggesa penduduk menghapuskan air bertakung di kawasan rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Unit Kawalan Vektor Pejabat Kesihatan Daerah Klang turut menasihatkan komuniti agar mengadakan gotong-royong bagi memastikan persekitaran kekal bersih.
Sehingga 5 April, daerah Klang merekodkan 1,143 kes denggi berbanding 1,404 kes bagi tempoh sama tahun lalu, dengan dua kematian dilaporkan setakat ini.
Azmi berkata faktor cuaca panas dan hujan menyumbang kepada peningkatan pembiakan nyamuk Aedes.
“Hujan menyebabkan air bertakung yang menjadi tempat pembiakan nyamuk yang aktif menggigit pada awal pagi dan sebelum senja,” katanya.







