SHAH ALAM, 2 DIS: Kes demam denggi di Selangor merekodkan sedikit penurunan pada minggu ketiga November, namun risiko peningkatan jangkitan kekal tinggi pada musim hujan, khususnya di kawasan hotspot.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin berkata sebanyak 385 kes direkodkan dari 16 hingga 22 November, menurun 18 kes berbanding minggu sebelumnya yang mencatatkan 403 kes.
Beliau bagaimanapun mengingatkan hujan berterusan boleh menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes sekali gus meningkatkan risiko penularan denggi, terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
“Musim hujan sememangnya berpotensi meningkatkan risiko penularan denggi di Selangor, terutamanya di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot. Ini kerana nyamuk Aedes membiak dalam air bertakung dan bila kerap hujan, banyak tempat seperti baldi, tayar, pasu, longkang dan lopak air menjadi lokasi pembiakan.

“Sehubungan itu, saya menyeru warga Selangor untuk mengambil langkah pencegahan dengan serius demi melindungi diri, keluarga dan komuniti kita daripada jangkitan denggi,” katanya kepada Media Selangor.
Pada masa sama, Jamaliah turut menasihatkan orang ramai agar lebih peka terhadap keadaan warga emas atau pesakit kronik yang mengalami demam kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi serius akibat denggi.
“Jadi, jika mengalami demam berpanjangan atau tanda-tanda lain yang mencurigakan, segera dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital. Pemeriksaan awal boleh menyelamatkan nyawa,” katanya.
Menurut data Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, daerah Petaling terus mencatat kes tertinggi iaitu 158 kes, diikuti Hulu Langat (69), Klang (51), Gombak (39) dan Kuala Langat (34).
Lokasi hotspot pula meliputi CLQ Gamuda Cove (Kuala Langat), Kompleks MAIS Seksyen 3 Shah Alam (Petaling), Pangsapuri Mawar (Klang) dan Taman Puncak Jalil (Petaling).



