SHAH ALAM, 4 OGOS: Akta 672 ialah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, iaitu undang-undang Persekutuan yang mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan awam di negeri-negeri yang menerima pakainya.
Akta ini diwujudkan bagi menyeragamkan sistem kutipan sampah, pelupusan sisa, penguatkuasaan undang-undang serta meningkatkan tahap kebersihan awam di Malaysia.
Objektif utamanya adalah untuk menyeragamkan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, meningkatkan kecekapan kutipan serta pelupusan sampah, selain menggalakkan pengasingan sisa di punca, amalan guna semula dan kitar semula.
Selain itu, akta ini memberi kuasa penguatkuasaan yang lebih jelas kepada agensi berkaitan seperti Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), antara peruntukan penting dalam Akta 672 ialah perkhidmatan pengurusan sisa hanya boleh dijalankan oleh pihak yang berlesen, pelaksanaan pengasingan sisa di punca, pengurangan penghasilan sisa, amalan guna semula dan kitar semula, selain memperkenalkan sistem pengambilan semula (take-back system) serta sistem bayaran balik deposit bagi bahan tertentu.
Akta ini diwartakan pada 30 Ogos 2007 bagi mewujudkan undang-undang yang seragam berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Ia mula dikuatkuasakan pada 1 September 2011 di kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan (kecuali Labuan).
Pada peringkat awal, beberapa negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan tidak mengguna pakai akta tersebut.
Mengapa Akta 672 penting untuk Selangor?
Akta 672 dilihat penting untuk Selangor kerana negeri ini mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, kadar urbanisasi yang pesat serta menghasilkan jumlah sisa pepejal yang besar setiap hari. Pelaksanaannya dijangka dapat memperkukuh sistem pengurusan sisa dan meningkatkan tahap kebersihan awam.
Melalui pelaksanaan akta ini, sistem pengurusan sisa dijangka menjadi lebih seragam. Ketika ini, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor mempunyai pendekatan dan kemampuan kewangan yang berbeza. Akta 672 membolehkan pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan awam diselaraskan di seluruh negeri.

Selain itu, penguatkuasaan lebih tegas di bawah Akta 672 memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan seperti pembuangan sampah haram.
Sebagai contoh, bagi kesalahan tertentu, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, berbanding hukuman yang lebih ringan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Akta juga membolehkan Kerajaan Negeri meningkatkan kualiti perkhidmatan. Kerajaan Persekutuan dijangka menanggung perbezaan kos kutipan sisa, membolehkan penggunaan jentera, lori dan kemudahan yang lebih moden serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kutipan sampah.
Akta 672 juga membantu menangani isu sampah haram dengan penguatkuasaan yang lebih berkesan dan penyelarasan operasi, isu pembuangan sampah secara haram dijangka dapat dikurangkan, sekali gus membantu memelihara kebersihan alam sekitar.
Akta ini turut menggalakkan ekonomi kitaran melalui pengasingan sisa di punca, amalan guna semula dan kitar semula, selaras dengan usaha mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
Akta juga membantu mengurangkan beban PBT, apabila ia dilaksanakan kelak, tanggungjawab tertentu berkaitan pengurusan sisa akan diselaraskan di bawah sistem persekutuan, membolehkan PBT memberi lebih tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan lain kepada rakyat.
Garis masa pelaksanaan Akta 672 di Selangor
Pada 16 Mac 2023, EXCO Kerajaan Tempatan pada ketika itu Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri pertimbang untuk menandatangani Akta 672 sebagai penyelesaian jangka panjang masalah sampah haram.
Menurutnya, dengan menandatangani akta itu penguatkuasaan dan pemantauan sampah akan dilaksanakan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pada Mac 2024, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri menghantar surat niat (Letter of Intent) susulan hasrat untuk mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata surat tersebut dihantar kepada KPKT bagi melaksana akta berkenaan mengikut peruntukan kerajaan persekutuan.
Pada Jun 2024, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan pentadbiran negeri dalam proses menandatangani Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) melalui KDEB Waste Management (KDEBWM).
Suee Lim bagaimanapun berkata KPKT akan menyemak hukuman bagi Akta 672 itu dari semasa ke semasa supaya dapat memberi impak kepada sindiket haram itu.
Pada November 2024, Dato’ Menteri Besar berkata ketika ini perbincangan bersama KPKT masih berjalan bagi memastikan kepentingan Selangor terjaga.
Amirudin menambah, pelaksanaan Akta 672 dijangka mengurangkan beban Kerajaan Negeri khususnya berkaitan harga tarif kutipan sisa pepejal.
Pada Februari 2025, Ng Suee Lim memberitahu denda sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun menanti pesalah sampah haram selepas Selangor melaksana Akta 672.
Beliau menambah pelaksanaan akta tersebut masih di peringkat rundingan bersama Persekutuan bagi memastikan pengurusan sampah lebih baik pada masa depan.
Pada November 2025, Suee Lim berkata KDEBWM masih menjadi peneraju utama pengurusan sisa pepejal Selangor meskipun Akta 672 bakal mengubah struktur pengurusan di peringkat nasional.
Katanya lagi, kepentingan negeri sentiasa menjadi keutamaan dalam rundingan dasar baharu termasuk penyeragaman sistem di bawah seliaan SWCorp.
Pada Disember 2025, Suee Lim berkata Kerajaan Negeri menyasarkan pemeteraian pelaksanaan Akta 672 bersama persekutuan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada September 2026 selepas semua dokumen dan inventori berkaitan PBT diserahkan.
Beliau memaklumkan pelaksanaan akta itu penting bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pesalah, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun.
Menurutnya, kadar denda maksimum RM1,000 di bawah undang-undang kecil PBT ketika ini tidak lagi memberi kesan sebagai pengajaran kepada pesalah.
Katanya, langkah itu turut diambil susulan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan ketegasan terhadap isu sampah dan kebersihan awam di negeri ini.
Status pelaksanaan Akta 672 di Selangor
Pada 29 Julai lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Akta 672 akan diperluaskan di Selangor secara berfasa bagi membanteras isu pembuangan sampah haram di negeri itu.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah bersetuju dan sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyelaras pelaksanaan akta berkenaan bersama Kerajaan Negeri serta 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada kerangka reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan tahap kebersihan di Selangor setanding dengan standard antarabangsa.
Pada 1 Ogos, Suee Lim berkata pelaksanaan Akta 672 di Selangor secara berfasa dijangka bermula di PBT bertaraf bandar raya terlebih dahulu.
Beliau berkata Selangor kini berada pada fasa akhir perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan akta itu.







