Dakwaan bahawa Malaysia menghantar diesel ke Filipina mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat selepas laporan Perkhidmatan Berita Filipina (PNA) tular di media sosial.
Laporan itu mendakwa Filipina menerima 329,000 tong atau 52.31 juta liter diesel yang dikatakan dari Malaysia bagi menampung kekurangan bekalan tenaga di negara berkenaan.
Malah, laporan sama turut menyebut penghantaran tersebut merupakan bekalan kedua diterima Filipina, selepas negara itu memperoleh 142,000 tong diesel dari Jepun pada 26 Mac lalu sebagai sebahagian usaha menangani isu tenaga global.
Isu tular cetus persoalan
Di Malaysia, laporan itu pantas menjadi perbualan hangat di media sosial.
Ramai mempersoalkan dakwaan tersebut, khususnya dalam konteks semasa negara yang masih berdepan isu penyasaran subsidi bahan api serta tekanan kos sara hidup.
Perkembangan itu sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dan tanggapan yang mengaitkan dasar kerajaan serta pengurusan bekalan tenaga domestik.

MTEN tampil beri penjelasan
Bagi meredakan kekeliruan, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) tampil memberikan penjelasan rasmi.
Menurut MTEN, dakwaan bahawa Malaysia menghantar diesel ke Filipina adalah tidak tepat dan bekalan yang dilaporkan itu bukan berasal dari Malaysia.
Pasukan Pengurusan Krisis MTEN turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta sentiasa merujuk kepada sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan maklumat yang sahih.
PETRONAS turut nafi penglibatan
Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) juga mengeluarkan kenyataan menafikan sebarang penglibatan dalam penghantaran diesel ke Filipina.
Syarikat minyak nasional itu menegaskan tidak pernah memasuki sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berhubung perkara tersebut.
PETRONAS pada masa sama menegaskan keutamaan mereka kekal memastikan bekalan bahan api dalam negara stabil dan mencukupi.
Kesimpulannya, dakwaan Malaysia menghantar diesel ke Filipina adalah tidak benar, sekali gus menepis kekeliruan susulan laporan media luar negara.

Filipina terdedah risiko bekalan minyak
Sebelum kontroversi tercetus, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menerusi nota penyelidikan memaklumkan Filipina antara negara ASEAN paling terdedah kepada risiko bekalan minyak.
Ini kerana negara itu bergantung kepada import minyak mentah sehingga 95 peratus, diikuti Vietnam (88 peratus), Malaysia (69 peratus), Thailand (59 peratus) dan Singapura (52 peratus).
Kebergantungan tinggi terhadap sumber dari Teluk Parsi menjadikan Filipina lebih terdedah kepada gangguan bekalan, terutama susulan konflik di Asia Barat.
Sebahagian besar penghantaran minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) yang melalui Selat Hormuz turut terjejas, dengan Asia menjadi destinasi utama termasuk China dan India.
Bekalan Filipina melalui syarikat komoditi global VITOL, Trafigura
Pada 7 April, PNA melaporkan bekalan minyak domestik Filipina mencukupi untuk kira-kira 50 hari.
Timbalan Setiausaha Jabatan Tenaga (DOE) Filipina, Sandy Sales berkata kira-kira 900,000 tong minyak dijadualkan tiba sepanjang April.
Menurutnya, penghantaran awal sebanyak 300,000 tong dijangka tiba menjelang 10 April dari Malaysia melalui Singapura dan diperoleh menerusi syarikat komoditi global VITOL.
Dua lagi penghantaran masing-masing 300,000 tong akan tiba kemudian, dikontrakkan melalui VITOL dan Trafigura serta diperoleh dari Asia Utara dan India.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta kontroversi berhubung dakwaan pembekalan diesel kepada Filipina dihentikan kerana perkara tersebut tidak benar.
"Dia (VITOL) memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita (Petronas) bagi (bekal) kepada Filipina. Tetapi kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak (milik) orang dalam perjanjian asing.
“Saya harap hentikanlah kontroversi ini, dan tumpukan untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang," katanya.








