Kes tikam pelajar: Peguam perjelas mengapa remaja dibebaskan tetapi masih ditahan

20 Sep 2026, 8:00 AM
Kes tikam pelajar: Peguam perjelas mengapa remaja dibebaskan tetapi masih ditahan
Kes tikam pelajar: Peguam perjelas mengapa remaja dibebaskan tetapi masih ditahan
Kes tikam pelajar: Peguam perjelas mengapa remaja dibebaskan tetapi masih ditahan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Kes tikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya pada Oktober tahun lalu yang mengakibatkan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat menggemparkan negara.

Kejadian itu mencetuskan pelbagai reaksi, malah Kerajaan Selangor turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi melaksanakan program kesihatan mental, PeerZ di sekolah bermula tahun ini.

Selepas sembilan bulan prosiding, Mahkamah Tinggi Shah Alam minggu lalu membebaskan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh rakan sekolahnya atas alasan tidak waras.

Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan elemen ketidakwarasan di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan ketika kejadian.

Sepanjang prosiding, seramai 11 saksi dipanggil manakala pihak pembelaan mengemukakan dua saksi, iaitu remaja berkenaan dan pakar psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd.

Peguam yang mewakili remaja itu, Kitson Foong berkata mahkamah memerintahkan anak guamnya dihantar ke hospital psikiatri bagi menjalani rawatan selepas mendapati remaja berkenaan tidak waras pada tarikh dan masa kejadian.

Peguam Kitson Foong ketika di Kompleks Mahkamah Shah Alam. Foto BERNAMA

Berikut penjelasan lanjut Kitson berhubung keputusan berkenaan:

S: Mengapa Seksyen 84 Kanun Keseksaan (KK) terpakai dalam kes ini?

J: Seksyen 84 (KK) memperuntukkan sesuatu perbuatan bukan kesalahan, jika semasa melakukannya pelaku tidak sempurna akal atau tidak tahu bahawa perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang.

Dalam kes ini, isu utama perbicaraan bukanlah berhubung perbuatan bunuh, tetapi keadaan mental remaja tersebut pada masa kejadian.

S: Jika remaja itu dilepas dan dibebaskan, mengapa mahkamah masih memerintahkan dia ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak?

J: Mahkamah mendapati bahawa remaja ini tidak sempurna akal pada masa kejadian. Oleh itu, di sisi undang-undang dia tidak boleh disabitkan kesalahan membunuh selain mahkamah merekodkan keputusan dilepas dan dibebaskan atas alasan tidak sempurna akal.

Namun pembebasan ini tidak bermaksud beliau bebas pulang ke rumah.

Undang-undang (Kanun Tatacara Jenayah) mewajibkan mahkamah memastikan individu ini dibebaskan atas alasan ini ditempatkan dalam jagaan selamat.

S: Adakah perintah tahanan di hospital itu boleh dianggap sebagai satu bentuk hukuman?

J: Tidak. Dari segi undang-undang, perintah ini bukan hukuman kerana tiada sabitan kesalahan. Hukuman hanya dikenakan kepada orang yang didapati bersalah, sedangkan dalam kes ini mahkamah telah membebaskan remaja daripada pertuduhan.

Secara ringkasnya, undang-undang tidak menghukum seseorang yang disahkan mengidap sakit mental tetapi undang-undang juga tidak membiarkan individu sedemikian kembali ke masyarakat tanpa rawatan dan pengawasan.

S: Apakah tujuan remaja ini ditahan di hospital?

J: Tujuan perintah tahanan ini tertumpu kepada dua perkara iaitu melindungi keselamatan orang awam dan memastikan penama menerima rawatan psikiatri yang sewajarnya bagi penyakit mentalnya.

Tempoh tahanan juga tidak ditetapkan. Ia bukan seperti hukuman penjara yang mempunyai tarikh tamat, sebaliknya berterusan selagi Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak memperkenankan pembebasannya.

S: Adakah remaja ini bebas untuk keluar masuk hospital atau memohon rawatan di rumah?

J: Perintah mahkamah ini tetap satu sekatan yang serius terhadap kebebasan. Remaja ini tidak boleh keluar dari hospital atas kehendak sendiri atau atas kehendak keluarganya.

S: Adakah tahanan remaja berbeza dengan pesakit lain yang menerima rawatan di hospital sama?

J: Individu yang ditahan bawah perintah mahkamah sebegini lazimnya ditempatkan di unit atau wad psikiatri forensik iaitu bahagian hospital yang dikhaskan untuk pesakit yang mempunyai kaitan kes mahkamah atau jenayah.

Dari segi rawatan, remaja ini menerima rawatan asas ubat-ubatan, kaunseling, terapi dan program pemulihan mengikut penilaian doktor pakar.

Namun, terdapat beberapa perbezaan penting berbanding pesakit biasa seperti kawalan keselamatan lebih ketat, pergerakan dihadkan dan perlu dinilai secara berkala.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.