SHAH ALAM, 4 OGOS: Paras air di semua empangan di Selangor kekal stabil dengan kapasiti melebihi 70 peratus sejak Januari lalu, sekali gus memastikan bekalan air negeri berada pada tahap selamat, kata EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato' Ir Izham Hashim.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan Kerajaan Negeri tidak perlu mengaktifkan sebarang pelan kecemasan setakat ini walaupun pelbagai langkah kesiapsiagaan telah dirangka bagi menghadapi kemungkinan berlakunya fenomena El Nino dan kemarau berpanjangan.
"Kita telah membuat persiapan menghadapi El Nino, namun setakat ini ia masih belum diperlukan kerana kapasiti empangan dan aliran sungai didapati masih mencukupi.
"Berdasarkan pemantauan sejak awal tahun hingga kini, tiada empangan yang merekodkan kapasiti di bawah 70 peratus. Ada yang turun kepada sekitar 72 atau 73 peratus, namun kembali meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Burong, Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin, pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.
Ir Izham berkata, sehingga 29 Julai lalu, kesemua tujuh empangan di Selangor merekodkan kapasiti melebihi 75 peratus dengan jangka hayat simpanan air keseluruhan dianggarkan mampu bertahan antara tiga hingga enam bulan.
Menurut beliau, status semasa kapasiti empangan boleh disemak menerusi laman sesawang Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Air Bersepadu (IWRIMS) di www.iwrims.luas.gov.my.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih 140 kolam sumber air alternatif serta beberapa bekas lombong telah dikenal pasti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di bawah inisiatif Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) bagi memperkukuh jaminan bekalan air negeri.
"Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi memenuhi keperluan sektor kritikal seperti pertanian dan kesihatan awam sepanjang Monsun Barat Daya serta fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga awal 2027," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan.






