Selangor mampu tampung bekalan air sembilan bulan hadapi El Nino

13 Jun 2026, 7:26 AM
Selangor mampu tampung bekalan air sembilan bulan hadapi El Nino
Selangor mampu tampung bekalan air sembilan bulan hadapi El Nino
Selangor mampu tampung bekalan air sembilan bulan hadapi El Nino

KUALA LANGAT, 13 JUN: Kapasiti sumber air di Selangor dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi fenomena El Nino, yang diramal menyebabkan cuaca lebih kering serta taburan hujan berkurangan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keupayaan itu disokong menerusi pelaksanaan Selangor Off River Storage Scheme (SORSS) dan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang berperanan memperkukuh jaminan bekalan air negeri.

Menurutnya, menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), beberapa kolam tambahan serta bekas lombong berhampiran sungai utama yang berpotensi dinaik taraf dengan infrastruktur bekalan air telah dikenal pasti bagi meningkatkan kapasiti simpanan air mentah negeri.

“Kolam-kolam ini dijenamakan sebagai SORSS yang melibatkan lebih 140 kolam telah diklusterkan mengikut lembangan sungai dan disesuaikan mengikut persekitaran dan ciri kolam tersebut.

“Status semasa walaupun pembangunan infrastruktur berkaitan belum dilaksanakan secara menyeluruh, sumber air dari kolam takungan ini tersedia untuk digunapakai bila-bila masa dengan pelaksanaan operasi menggunakan pam mudah alih.

“Secara amnya, kolam takungan ini telah digunapakai setiap tahun apabila berlaku krisis sumber air terutama melibatkan kawasan di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat. Melalui rizab simpanan dari kolam takungan SORSS ini, sumber air alternatif dapat dioptimumkan dengan keupayaan bekalan semasa sehingga tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin pada majlis sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Selangor dan Hari Rendah Karbon di Pantai Kelanang, hari ini.

Katanya, perancangan pembangunan SORSS selaras dengan Projek SJAM yang telah disiapkan pada 13 Mei tahun lalu dengan pelaksanaannya melibatkan pengepaman air kolam ke sungai dan peletakan pam mudah alih untuk memastikan loji rawatan air (LRA) dapat mengabstrak dan merawat air mentah untuk bekalan.

“Secara keseluruhannya, kesediaan sumber air negeri dianggarkan mampu bertahan sehingga sembilan bulan bagi menghadapi fenomena cuaca semasa.

“Kini di Lembangan Sungai Selangor, beberapa kawasan takungan dilengkapi fasiliti pam bagi penyaluran sumber air alternatif dengan kapasiti maksimum aliran sebanyak 3,840 juta liter sehari (JLH) melibatkan pembangunan Projek SJAM Pakej A dan B sertapenggunaan pam mudah alih.

“Manakala di Sungai Semenyih dengan fasiliti pam berkapasiti sebanyak 770 JLH maksimahasil pembangunan Projek SJAM Pakej D. Pembangunan fasiliti SJAM ini juga boleh bertindak dwifungsi bagi tujuan kawalan pencemaran dan membantu meningkatkan kapasiti sumber air mentah,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kesiapsiagaan di peringkat akar umbi dalam menghadapi fenomena El Nino perlu diperkukuh kerana langkah pencegahan dan persediaan awal adalah benteng terbaik dalam mengharungi kesan cuaca ekstrem yang semakin tidak menentu.

Menurut Anwar perkara itu dipersetujui oleh mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang pada 11 Jun yang meneliti pembentangan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fenomena El Nino serta implikasinya terhadap negara.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.