Pokok mangga tak berbuah, benarkah perlu ditakik?

4 Ogos 2026, 2:05 AM
Pokok mangga tak berbuah, benarkah perlu ditakik?
Pokok mangga tak berbuah, benarkah perlu ditakik?
Pokok mangga tak berbuah, benarkah perlu ditakik?

Pokok mangga sudah bertahun-tahun ditanam, subur dan rendang, namun masih gagal berbuah. Ramai percaya batang pokok perlu ditakik untuk merangsang penghasilan buah, tetapi benarkah petua itu berkesan?

Menurut penceramah pertanian dan penasihat komuniti, Alias Saad, amalan yang diwarisi turun-temurun itu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya kaedah untuk merangsang penghasilan buah kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi pertumbuhan pokok.

Antaranya ialah fisiologi tanaman, pemilihan varieti serta kesesuaian tanah yang menjadi penentu sama ada pokok mampu mengeluarkan bunga dan buah dengan baik.

"Saya tidak mahu sebut betul atau tidak. Cuma saya hendak cerita daripada sudut sains dan fisiologi tanaman," jelas beliau ketika ditemu bual dalam program Lestari Agro terbitan Media Selangor di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, baru-baru ini.

Alias berpengalaman dalam bidang pertanian sejak 1984 dan pernah berkhidmat di beberapa agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Beliau juga pernah memegang jawatan Naib Presiden Kumpulan Guthrie dan Sime Darby selain bertugas di Seksyen Pertanian, Jabatan Perdana Menteri.

Kini, beliau aktif menggalakkan masyarakat bercucuk tanam di halaman rumah sebagai salah satu sumber makanan sihat.

Penceramah pertanian dan penasihat komuniti, Alias Saad, menjelaskan kesesuaian tanah antara faktor penting yang mempengaruhi pertumbuhan serta penghasilan buah. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Pilih varieti sesuai

Menurut Alias, setiap varieti mangga mempunyai kelebihan tersendiri bergantung kepada jenis tanah dan persekitaran tempat ia ditanam.

Keadaan itu menyebabkan sesuatu varieti mampu menghasilkan bunga dan buah dengan baik di satu kawasan, tetapi kurang sesuai apabila ditanam di lokasi lain walaupun menerima penjagaan yang sama.

"Setiap spesies mempelam mempunyai kelebihan tersendiri mengikut tanah di kawasan tersebut.

"Sebenarnya kita kena pilih jenis buah mempelam yang sesuai dengan tanah di situ," tegas beliau.

Beliau berkata keadaan itu boleh diperhatikan di banyak kawasan perumahan apabila hanya satu atau dua daripada tujuh atau lapan pokok mangga yang ditanam berjaya menghasilkan buah.

"Pemerhatian mudah seperti itu boleh dijadikan panduan sebelum memilih benih atau varieti untuk ditanam," katanya.

Keadaan tanah yang subur dan kaya bahan organik penting bagi menyokong pertumbuhan tanaman serta penghasilan bunga dan buah. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Pemangkasan perlu ikut keperluan pokok

Selain menakik batang pokok, pemangkasan turut menjadi amalan yang sering dilakukan bagi mengurus pertumbuhan pokok dan menggalakkan penghasilan buah.

Bagaimanapun, Alias berkata setiap kerja pemangkasan perlu dilakukan dengan memahami fisiologi tanaman kerana setiap spesies dan varieti mempunyai corak pertumbuhan yang berbeza.

"Lebih banyak dahan, lebih banyak ranting dan lebih banyak daun, proses fotosintesis akan meningkat.

"Bila proses fotosintesis meningkat, tenaga lebih banyak dan pokok akan menghasilkan buah yang lebih banyak," jelas beliau.

Menurut Alias, proses fotosintesis membolehkan pokok menghasilkan tenaga yang diperlukan untuk pertumbuhan, pembungaan dan pembentukan buah.

Justeru, kerja pemangkasan perlu disesuaikan dengan keperluan pertumbuhan pokok supaya proses fisiologinya tidak terjejas, bukannya dilakukan secara seragam.

Beliau berkata memahami sifat semula jadi tanaman lebih penting daripada bergantung kepada satu petua semata-mata bagi merangsang penghasilan buah.

"Bagi mereka yang gemar menanam pokok buah di halaman rumah, memilih varieti yang sesuai dengan keadaan tanah merupakan langkah awal yang boleh meningkatkan peluang memperoleh hasil yang baik," katanya.

Menurut Alias, petua tradisional sememangnya mempunyai nilai tersendiri. Namun amalan itu lebih berkesan apabila disertai pemahaman terhadap sains tanaman, kesesuaian varieti dan keadaan tanah.

Kulit telur antara bahan organik yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber nutrien untuk menyokong pertumbuhan tanaman. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.