Hampas teh dan kopi bantu suburkan tanah, petua orang lama disokong sains

14 Jul 2026, 2:00 AM
Hampas teh dan kopi bantu suburkan tanah, petua orang lama disokong sains
Hampas teh dan kopi bantu suburkan tanah, petua orang lama disokong sains
Hampas teh dan kopi bantu suburkan tanah, petua orang lama disokong sains
Hampas teh dan kopi bantu suburkan tanah, petua orang lama disokong sains

Secawan teh atau kopi yang dinikmati setiap hari mungkin hanya meninggalkan hampas yang dianggap tidak berguna.

Namun, bagi pencinta tanaman, sisa dapur itu sebenarnya mempunyai nilai tersendiri apabila dimanfaatkan dengan cara yang betul kerana ia mampu membantu memperbaiki struktur tanah.

Petua menggunakan hampas teh dan kopi sebagai bahan organik bukan perkara baharu dalam masyarakat. Amalan itu telah lama diamalkan orang terdahulu sebelum penggunaan baja moden menjadi pilihan utama.

Bagaimanapun, penceramah pertanian dan penasihat komuniti, Alias Saad menjelaskan hampas teh dan kopi bukanlah baja yang mampu menyuburkan tanaman secara terus, sebaliknya berperanan memperbaiki keadaan tanah supaya lebih sesuai untuk pertumbuhan akar serta pembiakan bakteria berfaedah.

Nilai tersembunyi

Menurut Alias, bahan organik seperti hampas teh dan kopi membantu meningkatkan kelembapan tanah sekali gus menyediakan persekitaran lebih baik untuk tanaman.

Penceramah pertanian dan penasihat komuniti, Alias Saad ketika ditemu bual dalam program Lestari Agro terbitan Media Selangor di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 25 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

“Hampas teh dan kopi ini sebenarnya lebih kepada membantu tanah. Apabila kita letakkan di pangkal pokok, ia membantu meningkatkan kelembapan tanah dan keadaan itu sangat penting untuk tanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Lestari Agro terbitan Media Selangor di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 25 Jun lalu.

Menurut Alias, kedua-dua bahan itu mempunyai fungsi yang hampir sama, namun hampas teh lebih mudah terurai berbanding hampas kopi.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana hampas teh berasal daripada daun yang telah diproses dan direbus, manakala hampas kopi daripada biji kopi mempunyai tekstur lebih keras serta mengambil masa lebih lama untuk melalui proses penguraian secara semula jadi.

Sampel hampas teh dan kopi yang digunakan sebagai bahan organik untuk tanaman dalam program Lestari Agro terbitan Media Selangor di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 25 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Proses penguraian bahan organik membantu memperbaiki struktur tanah dengan menyokong kehidupan mikroorganisma serta pertumbuhan akar tanaman.

Alias yang aktif menggalakkan masyarakat bercucuk tanam di halaman rumah sebagai salah satu sumber makanan sihat berkata, tanah merupakan asas penting dalam menentukan kesihatan sesebuah tanaman.

Berpengalaman dalam bidang pertanian sejak 1984, beliau pernah berkhidmat di beberapa agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) selain memegang jawatan Naib Presiden Kumpulan Guthrie dan Sime Darby serta bertugas di Seksyen Pertanian, Jabatan Perdana Menteri.

Bukan baja ajaib

Alias berkata, air merupakan komponen penting dalam pertumbuhan tanaman kerana tanah yang mampu mengekalkan kelembapan membantu akar menyerap nutrien dengan lebih baik.

Justeru, penggunaan hampas teh dan kopi perlu dilakukan secara sederhana dengan menggaulkannya bersama tanah dan bukannya diletakkan terlalu banyak di pangkal pokok.

Hampas teh dan kopi yang telah diadun bersama bahan lain sebagai bahan organik untuk membantu memperbaiki struktur tanah diletakkan pada pangkal tanaman di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 25 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Menurutnya, bahan organik hanya membentuk sebahagian kecil daripada komposisi tanah yang subur iaitu sekitar 10 peratus, manakala selebihnya terdiri daripada tanah liat, pasir dan keladak.

“Keseimbangan komponen tanah ini penting supaya ia mampu menyimpan air, membekalkan udara kepada akar dan menyokong pertumbuhan tanaman,” katanya.

Tambah beliau, apabila struktur tanah berada dalam keadaan baik, bakteria berfaedah akan datang dan membiak.

“Secara tidak langsung akar tanaman mendapat manfaat untuk menghasilkan pokok yang lebih subur, bunga yang segar dan buah yang berkualiti,” jelas beliau.

Beliau berkata bahan organik hanya perlu ditambah semula apabila kandungannya semakin berkurangan selepas melalui proses pereputan secara semula jadi.

Katanya, tiada tempoh khusus untuk menambah hampas teh atau kopi kerana ia bergantung kepada keadaan tanah, cuaca serta persekitaran tanaman.

Jangan salahkan pokok

Menurut Alias, antara tanda tanah mula mengalami masalah ialah apabila daun bertukar kekuningan atau pokok mudah diserang penyakit.

Katanya, keadaan itu sering menyebabkan ramai menyangka tanaman mereka diserang serangga lalu terus menggunakan racun, sedangkan punca sebenar mungkin berpunca daripada keadaan tanah yang semakin berasid atau kurang subur.

Penceramah pertanian dan penasihat komuniti, Alias Saad menunjukkan tanaman yang menggunakan adunan hampas teh dan kopi sebagai bahan organik ketika ditemu bual dalam program Lestari Agro terbitan Media Selangor di Taman Aromatik Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong pada 25 Jun 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Terlalu ramai orang terus fikir hendak sembur racun. Sebenarnya kita perlu baiki tanah terlebih dahulu.

“Apabila tanah kembali subur, pokok akan menjadi lebih sihat dan mampu melindungi dirinya sendiri,” tegas beliau.

Bagi mereka yang gemar bercucuk tanam di halaman rumah, penggunaan hampas teh dan kopi membuktikan petua orang lama bukan sekadar amalan turun-temurun.

Dengan pemahaman daripada sudut sains, hampas teh dan kopi bukan lagi sekadar sisa dapur, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada usaha membina tanah yang sihat untuk tanaman lebih subur serta menyokong amalan pertanian yang lebih lestari.

INFO: Hampas teh dan kopi untuk tanaman

  • bukan baja segera yang terus menyuburkan tanaman

  • bantu memperbaiki struktur tanah

  • bantu mengekalkan kelembapan tanah

  • tanah yang sihat menyokong pertumbuhan pokok lebih subur

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.