Operasi anjing liar diteruskan, tindakan tidak boleh bersifat kejam

3 Ogos 2026, 6:07 AM
Operasi anjing liar diteruskan, tindakan tidak boleh bersifat kejam

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kerajaan Negeri akan terus mengambil tindakan terhadap isu anjing liar yang boleh menjejaskan keselamatan awam, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara berhemah dan tidak bersifat kejam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mencari titik keseimbangan antara menjaga kebajikan haiwan dan melindungi keselamatan masyarakat.

“Inilah titik keseimbangan yang harus dilaksanakan. Duli Yang Maha Mulia Permaisuri juga mengemukakan keprihatinan Baginda terhadap isu itu.

“Jadi janganlah marah. Ada orang prihatin terhadap kebajikan haiwan, ada juga yang menjaga kebajikan manusia. Kita juga akan ambil tindakan, terutama terhadap anjing liar.

“Tindakan berterusan kita ambil kerana akhirnya kerajaan perlu bertindak demi maslahat umum. Isu ini timbul apabila ada tindakan tertentu diambil, tetapi janganlah tindakan itu sampai bersifat kejam atau tidak mencerminkan nilai kemanusiaan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2026 di sini, hari ini.

Amirudin berkata tindakan terhadap haiwan liar sememangnya dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa dan tidak wajar timbul dakwaan bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil sebarang tindakan.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak bersikap selektif dalam membuat tuduhan berhubung isu anjing liar di negeri ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan bagi mengurangkan risiko keselamatan akibat haiwan liar yang berkeliaran, namun pendekatan yang diambil mestilah seimbang dan berperikemanusiaan.

“Sebab tindakan memang dibuat. Ada pihak mendakwa kita bertindak kejam, tetapi pada masa sama ada juga yang kata kita tidak mengambil tindakan. Apa yang saya tekankan ialah titik keseimbangan. Kita perlu bertindak dan pada masa sama mengelakkan kejadian melibatkan anjing liar atau haiwan berkeliaran yang boleh mengancam keselamatan.

“ADUN Pelabuhan Klang juga pernah membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Negeri. Bukan tidak dibangkitkan. Jadi jangan bersikap selektif,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan operasi menangkap anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah di sini pada Khamis dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta piawaian yang ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Selain tu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor memberi jaminan siasatan berhubung kematian seekor anjing ketika operasi menangkap haiwan liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang akan dijalankan secara menyeluruh, adil dan tanpa memprejudiskan mana-mana pihak.

Pada 1 Ogos lalu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, menzahirkan rasa dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang masih berlaku dan tular sejak kebelakangan ini.

Istana Alam Shah turut memaklumkan Baginda menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya hukuman terhadap pelaku kekejaman haiwan diperketatkan serta dikuatkuasakan dengan lebih konsisten.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.