SHAH ALAM, 2 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze menyalurkan peruntukan RM10,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Utama bagi membeli meja dan kerusi baharu untuk kegunaan dewan sekolah.
Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata sumbangan itu bertujuan meningkatkan keselesaan warga sekolah, khususnya pelajar yang menggunakan dewan bagi pelbagai aktiviti.
Michelle turut mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan semalam bagi meninjau sendiri penggunaan peruntukan itu dan berpuas hati apabila ia dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Setiap pelaburan untuk sekolah merupakan pelaburan bagi masa depan anak-anak kita.
“Saya gembira melihat peruntukan ini dimanfaatkan dengan baik demi keselesaan dan manfaat pelajar,” katanya.
Dalam lawatan sama, pihak sekolah turut membawa beliau meninjau beberapa kawasan yang memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi kemudahan sekolah.
Michelle turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan sekolah atas komitmen menguruskan peruntukan tersebut secara berhemah, selain sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselesaan pelajar.








