SHAH ALAM, 11 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya memberi jaminan akan memastikan perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan terus berjalan susulan keputusan mantan Ahli Parlimen Subang Wong Chen, meletakkan jawatan.
Michelle Ng Mei Sze berkata, pihaknya akan berusaha memastikan perkhidmatan tidak terputus, termasuk membantu penduduk menangani isu yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Saya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Wong Chen atas 13 tahun beliau berkhidmat di kawasan Subang Jaya.
“Bagi saya secara peribadi, beliau telah membantu saya pada 2018 apabila saya bertanding di Subang Jaya buat pertama kali dan dalam tempoh saya berkhidmat selama lapan tahun ini, beliau juga banyak memberi tunjuk ajar.
“Jadi, kita menghormati keputusan YB Wong Chen untuk meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Michelle berkata, pejabatnya juga akan memainkan peranan sebagai penghubung antara penduduk dengan agensi berkaitan bagi memastikan bantuan sewajarnya dapat disalurkan.
“Bagi kawasan Subang Jaya, pejabat saya akan usahakan sebaik mungkin untuk memastikan perkhidmatan berterusan dan tidak terputus.
“Sememangnya kita juga akan berusaha menangani perkara yang mungkin baharu untuk kita, contohnya kes berkaitan sekolah atau kewarganegaraan yang sememangnya di bawah bidang kuasa kerajaan tersebut.
“Namun, perkara ini saya akan berusaha untuk menjadi penghubung antara penduduk dan juga agensi berkaitan supaya kita memperoleh bantuan yang sewajarnya,” katanya.
Semalam, Wong Chen mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Subang menerusi hantaran Facebook, sekali gus mengesahkan peletakan jawatan beliau secara sukarela.
Beliau turut berkongsi notis yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 5 Ogos melalui hantaran sama.







