Pembinaan Klinik Kesihatan USJ 1 ikut jadual, siap 2028

22 Jul 2026, 8:23 AM
Pembinaan Klinik Kesihatan USJ 1 ikut jadual, siap 2028

SHAH ALAM, 22 JULAI: Pembinaan klinik kerajaan pertama di Subang Jaya berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada 2028, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Beliau berkata kerja cerucuk di tapak Klinik Kesihatan USJ 1 telah selesai, manakala pembinaan tiang struktur bangunan turut siap.

“Kami berharap jika semuanya berjalan lancar, projek ini dapat disiapkan pada 2028. Seperti yang diketahui, dalam sektor pembinaan banyak perkara bergantung kepada harga bahan binaan, selain krisis minyak global yang turut memberi kesan.

“Buat masa ini, projek dilihat mengikut jadual. Semoga ia dapat disiapkan pada 2028,” katanya menerusi hantaran di platform X selepas mengadakan lawatan tapak semalam.

Menurut papan maklumat projek, pembinaan klinik itu bermula pada 29 April 2025 dan dijadual siap pada 24 April 2028.

Klinik berkenaan dibina di Jalan Subang 3, USJ 1, berhampiran SJKC Chee Wen. Ketika ini, Subang Jaya belum mempunyai kemudahan kesihatan kerajaan.

Projek itu dilaksanakan oleh kontraktor Atlantas Construction Sdn Bhd.

Pada Oktober 2024, Michelle bersama Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, dalam satu kenyataan bersama memaklumkan Klinik Kesihatan Jenis 2 (KK2) yang dibina di atas tapak seluas 1.715 hektar itu melibatkan kos sebanyak RM52.64 juta.

Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), KK2 menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar, kesihatan ibu dan kanak-kanak, pergigian, rehabilitasi, pengimejan diagnostik (X-ray), perkhidmatan makmal, selain menempatkan unit kecemasan dan farmasi.

Klinik itu dijangka mampu menerima antara 500 hingga 800 pesakit setiap hari.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.