SHAH ALAM, 1 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat daerah di Selangor sehingga jam 11 malam ini.
MetMalaysia memaklumkan kawasan terlibat ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran sama turut melibatkan Kuala Lumpur serta beberapa kawasan di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Labuan.
Di Negeri Sembilan, kawasan yang dijangka terjejas ialah Jelebu dan Jempol, manakala di Johor membabitkan Kluang dan Mersing.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran cuaca itu merupakan amaran jangka pendek yang sah bagi tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran.







