SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Selangor akan meneliti semula tatacara operasi piawai (SOP) pengurusan haiwan liar di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan insiden kematian seekor anjing ketika operasi tangkapan anjing liar di Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Dato' Ng Suee Lim berkata semakan itu meliputi aspek latihan, prosedur operasi serta kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkepentingan bagi memastikan operasi penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, selamat dan berperikemanusiaan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri memandang serius kejadian itu kerana keselamatan awam dan kebajikan haiwan merupakan dua tanggungjawab yang perlu dipelihara secara seimbang.
"Setiap operasi penguatkuasaan hendaklah dilaksanakan secara profesional, berhemah serta mematuhi undang-undang dan prosedur operasi yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Kerajaan Negeri turut mengambil maklum bahawa Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional, selain menyeru semua pihak menghormati proses siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi.
Suee Lim berkata Kerajaan Negeri turut menjunjung titah dan kenyataan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor yang menegaskan sifat belas ihsan terhadap haiwan serta prinsip bahawa tiada sesiapa berada di atas undang-undang hendaklah sentiasa menjadi pegangan semua pihak.
Katanya, nilai berkenaan akan terus menjadi asas kepada pelaksanaan dasar dan tindakan Kerajaan Negeri.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri komited memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara, di samping memperkukuh amalan kebajikan haiwan serta mengekalkan keyakinan rakyat terhadap integriti dan profesionalisme institusi kerajaan.







