SHAH ALAM, 1 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat daerah di Selangor sehingga jam 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan kawasan yang dijangka terjejas ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat.
Amaran sama turut melibatkan Kuala Lumpur, selain beberapa kawasan di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah dan Labuan.
Di Negeri Sembilan, kawasan terlibat ialah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin, manakala di Johor membabitkan Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Amaran berkenaan merupakan amaran cuaca jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.







