Akta 672 diperluas ke Selangor secara berfasa, atasi isu tapak sampah haram

29 Jul 2026, 9:01 AM
Akta 672 diperluas ke Selangor secara berfasa, atasi isu tapak sampah haram

SHAH ALAM, 29 JULAI: Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akan diperluas di Selangor secara berfasa bagi membanteras isu pembuangan sampah haram di negeri itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, barisan jemaah menteri bersetuju dan pasukan petugas khas ditubuh untuk menyelaras akta berkenaan bersama Kerajaan Negeri dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), lapor Free Malaysia Today.

Menurut Nga Kor Ming, langkah itu adalah sebahagian daripada kerangka reformasi pembersihan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan tahap kebersihan di Selangor setanding standard antarabangsa.

"Pelaksanaan Akta 672 ini juga secara tidak langsung meraikan ulang tahun Jubli Perak Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor pada tahun ini.

"Ini berita baik buat rakyat Selangor untuk mempertingkatkan pengurusan sisa pepejal secara lebih berkesan," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menyasarkan pemeteraian pelaksanaan Akta 672 bersama persekutuan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada September selepas semua dokumen dan inventori berkaitan PBT diserahkan.

EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim sebelum ini berkata, pelaksanaan akta itu penting bagi membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap pesalah, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun.

Menurutnya, kadar denda maksimum RM1,000 di bawah undang-undang kecil PBT ketika ini tidak lagi memberi kesan sebagai pengajaran kepada pesalah.

Katanya, langkah itu turut diambil susulan titah DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan ketegasan terhadap isu sampah dan kebersihan awam di negeri ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.