Tiada kekejaman terhadap haiwan diterima, tiada siapa terkecuali – Tengku Permaisuri Selangor

1 Ogos 2026, 8:10 AM
Tiada kekejaman terhadap haiwan diterima, tiada siapa terkecuali – Tengku Permaisuri Selangor
Tiada kekejaman terhadap haiwan diterima, tiada siapa terkecuali – Tengku Permaisuri Selangor

SHAH ALAM, 1 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menegaskan bahawa tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi di Selangor, tanpa mengira siapa pelakunya atau kedudukan mereka.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini, Baginda yang juga Penaung Diraja kepada inisiatif Stray Free Selangor (SFS) di bawah kelolaan SPCA Selangor menzahirkan rasa amat dukacita, kecewa dan marah terhadap insiden kekejaman terhadap haiwan peliharaan serta haiwan terbiar, khususnya anjing dan kucing, yang masih berlaku dan tular sejak kebelakangan ini.

Baginda bertitah, perbuatan menyiksa, mencederakan, membunuh atau memperlakukan haiwan secara kejam bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang, malah mencerminkan kegagalan mempertahankan nilai belas ihsan dan kemanusiaan yang menjadi asas sebuah masyarakat bertamadun.

Tiada sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan akan diterima atau ditoleransi. Tidak kira siapa pelakunya, apa jawatannya, apa pun bangsa atau agamanya serta atas apa jua alasan sekali pun, titah Baginda.

Baginda turut menegaskan pendirian itu terpakai kepada semua pihak termasuk individu, organisasi, syarikat, agensi kerajaan dan pihak berkuasa kerana tiada sesiapa berada di atas undang-undang.

Sehubungan itu, Baginda berpandangan mana-mana pihak yang didapati melakukan kekejaman terhadap haiwan hendaklah disiasat secara menyeluruh dan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya, termasuk jika perlakuan itu dilakukan oleh anggota atau pegawai pihak berkuasa sendiri.

Menurut Baginda, keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan hanya dapat dipelihara apabila setiap tindakan dilaksanakan secara profesional, berintegriti dan penuh belas ihsan, bukannya melalui kekerasan yang tidak perlu atau tindakan yang mengundang penderitaan kepada haiwan.

Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor mengulangi saranan supaya kerajaan, pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta masyarakat berganding bahu memperkukuh usaha membina komuniti yang lebih berbelas ihsan terhadap haiwan.

Antara langkah yang dicadangkan termasuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan kebajikan haiwan dan masyarakat, memperluas usaha penyelamatan serta perlindungan haiwan secara berperikemanusiaan, selain membudayakan sifat kasih sayang terhadap haiwan sejak usia muda melalui pendidikan, kesedaran awam dan penglibatan komuniti.

Baginda turut menyeru supaya nilai "Compassion. Care. Community." dijadikan pegangan bersama dalam membentuk masyarakat yang lebih penyayang, bertanggungjawab dan bertamadun.

Menurut kenyataan lagi, Tengku Permaisuri Selangor percaya cara kita melayan haiwan mencerminkan siapa diri kita sebagai manusia. Sebuah masyarakat yang gagal menunjukkan belas ihsan kepada makhluk yang paling lemah akhirnya akan kehilangan nilai belas ihsan terhadap sesama manusia.

Pada masa sama, Baginda berharap semua pihak mengambil iktibar daripada insiden yang berlaku dan bersama-sama memastikan Selangor terus menjunjung tinggi nilai ihsan, keadilan serta tanggungjawab terhadap semua makhluk ciptaan Allah SWT.

Baginda turut menyeru Kerajaan Persekutuan mengkaji semula hukuman di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 supaya tindakan terhadap pelaku kekejaman haiwan diperketatkan serta dikuatkuasakan dengan lebih konsisten.

"Sifat belas ihsan bukanlah tanda kelemahan. Sebaliknya, kemampuan melindungi makhluk yang paling lemah adalah ukuran sebenar kekuatan, kematangan dan ketamadunan sesebuah masyarakat," titah Baginda.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.