24 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri, malam tadi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.
Hadir mengiringi Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Terdahulu, Muhammad Isyraq Shahruddin, 25, dan Nor Ruzana Natiah Jaafar, 43, masing-masing dinobatkan sebagai johan qari dan qariah tilawah al-Quran. Muhammad Isyraq turut menerima Anugerah Peserta Terbaik.
Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan RM25,000 beserta sijil dan trofi kemenangan.
Manakala, johan hafazan lelaki tahap satu dimenangi Muhammad Amnan Muhammad Sani, Hafiy Idham Hasrul Adzrin (tahap dua) dan Ahmad Faris Iqbal Mohd Roslan (tahap tiga).
Johan hafazan wanita tahap satu dimenangi Puteri Nur Khairunnisa Megat Aminul Rahim, Nur Izzati Norazmin(tahap dua) dan Humairourrohmah Mastor (tahap tiga).
Pemenang akan mewakili Selangor bagi pertandingan tilawah peringkat kebangsaan yang diadakan di Terengganu pada April depan.
Sementara itu, menerusi sembah ucapan, Ahmad Fadzli memaklumkan majlis ini menjadi pemangkin dalam memperkukuh jati diri umat Islam agar lahir generasi fasih membaca, menghafaz serta mampu menterjemahkan mesej al-Quran.
“Ketegasan dan kebijaksanaan Sultan Selangor dalam memastikan kebajikan para pelajar tahfiz dan generasi al-Quran sentiasa terpelihara.
“Penekanan Baginda terhadap aspek keselamatan dan ekosistem pendidikan yang seimbang membuktikan bahawa pendidikan al-Quran di Selangor tidak hanya mementingkan hafazan malah mendukung prinsip kesejahteraan insani secara holistik,” katanya.
Jelasnya lagi, Akademi Literasi al-Quran Selangor (ALAS) yang menawarkan kurikulum komprehensif kini semakin berkesan dan menerima lonjakan pelajar.
“Akademi ini menawarkan kurikulum yang komprehensif merentas usia daripada peringkat kanak-kanak hingga dewasa. Ia mencakupi pengajian Talaqqi, Tarannum, Qiraat, Bahasa Arab serta asas pengajian Islam.
“Keberkesanan inisiatif ini amat memberangsangkan setiap tahun bermula dengan 456 pelajar pada 2022 kini jumlahnya meningkat kepada 1,816 tahun ini,” katanya.





