SHAH ALAM, 18 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan ucapan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya rakyat Selangor.
Baginda berdua menyeru masyarakat supaya memanfaatkan bulan Ramadan yang mulia ini untuk menanam rasa keinsafan, memperkukuh perpaduan umat Islam serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
“Semoga bulan yang penuh keberkatan ini membawa ketenangan, meningkatkan amal ibadah, dan menyemai semangat kasih sayang dalam kalangan masyarakat.
"Selamat berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat,” menurut kenyataan Selangor Royal Office menerusi Facebook hari ini.
Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di seluruh negara mula berpuasa 19 Februari ini.
Syed Danial berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


