JPN Selangor beri kerjasama penuh siasatan kes kematian guru

1 Ogos 2026, 6:30 AM
JPN Selangor beri kerjasama penuh siasatan kes kematian guru

SHAH ALAM, 2 OGOS: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes kematian seorang guru di sebuah sekolah di Hulu Selangor.

JPN Selangor memaklumkan tumpuan utamanya ketika ini adalah memastikan bantuan terbaik diberikan kepada keluarga mangsa, selain melaksanakan khidmat sokongan psikososial khusus untuk membantu warga sekolah yang terjejas.

"JPN Selangor berdukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga guru berkenaan yang meninggal dunia di sekolah pada Jumaat.

"Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak polis. Kami memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, JPN Selangor turut menyeru orang ramai supaya menghormati privasi keluarga dengan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan.

"Semoga keluarga diberikan kesabaran dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan seorang guru wanita ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di daerah Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan M Manimaran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 kira-kira jam 7.15 pagi semalam berhubung kejadian itu.

Menurutnya, mangsa yang juga seorang guru dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.