SHAH ALAM, 21 OKT: Semua institusi pendidikan di bawah pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor akan beroperasi seperti biasa esok (22 Oktober), namun aktiviti luar ditangguhkan susulan keadaan jerebu.
JPN Selangor memaklumkan murid yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tidak sihat.
“Ibu bapa atau penjaga yang bimbang tentang kesihatan anak-anak dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah dengan syarat memaklumkan perkara tersebut kepada pihak pentadbir sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, JPN Selangor mengarahkan pihak pentadbir agar sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Warga kerja sekolah diminta memberikan perhatian khusus kepada murid yang berisiko tinggi mengalami masalah pernafasan dan kesihatan,” katanya.
JPN Selangor turut menasihatkan ibu bapa, penjaga dan warga sekolah supaya merujuk saluran komunikasi rasmi jabatan atau sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat sahih serta terkini mengenai status pengoperasian institusi pendidikan.








