SHAH ALAM, 22 OKT: Kira-kira 500 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari pelbagai sekolah di Selangor berhimpun dalam Majlis Munajat Perdana SPM 2026 bagi memohon keberkatan serta memperkukuh persediaan rohani menjelang peperiksaan penting itu.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dengan kerjasama Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Majlis yang turut dihadiri kira-kira 150 guru dan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) itu diisi dengan bacaan Yasin, doa, solat hajat serta sesi motivasi bagi membina keyakinan calon menghadapi peperiksaan.
Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong kecemerlangan pendidikan melalui pengukuhan kerohanian dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Kami Yayasan MBI sentiasa komited dalam menyokong usaha memperkasakan pendidikan dan meningkatkan kecemerlangan akademi anak-anak Selangor.
“Sokongan dan kerjasama diberikan merupakan manifestasi keyakinan terhadap pembangunan prestasi murid dan usaha memastikan mereka memperoleh peluang lebih baik untuk melangkah masa depan yang cemerlang,” katanya ketika berucap merasmikan program itu.
Program itu turut menampilkan sesi motivasi bertajuk Munajat Ilmu, Tekad Membara: Kecemerlangan SPM 2026 yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Shahefeduin Ahmad dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Andalas.
Pengisian berkenaan bertujuan menyuntik semangat serta meningkatkan keyakinan calon sebagai persediaan sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Peperiksaan SPM 2026 dijadual bermula pada 26 Oktober dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu, manakala peperiksaan bertulis berlangsung dari 23 November hingga 17 Disember, membabitkan 420,879 calon di 3,334 pusat peperiksaan seluruh negara.









