Lihat kelebihan, bukan kekurangan anak autisme

2 Ogos 2026, 4:00 AM
Lihat kelebihan, bukan kekurangan anak autisme

Sisi pandangan mereka berbeza. Bermula daripada sekecil-kecil butiran, hingga menjadi satu lembaran besar yang memberi makna istimewa buat anak autisme.

Pendekatan mendidik golongan ini juga bukan sekadar memberikan arahan, sebaliknya memahami cara mereka menerima dimensi dunia nyata yang berbeza daripada warga normal.

Perbezaan itu menguatkan semangat mentor seni, Rosli Mohd Nordin, 49, setiap kali membimbing murid autisme menghasilkan karya seni. Baginya, teknik demonstrasi satu demi satu jauh lebih berkesan setiap kali menghasilkan lukisan menggunakan cat akrilik.

"Sebab mereka mungkin ada di antaranya tidak boleh menerima terlalu banyak arahan dalam masa yang sama. Jadi kita ni sebagai manusia normal, kita faham kaedah tersebut jadi kita tunjukkan 'step by step'," katanya.

Cat akrilik ialah sejenis cat berasaskan air yang menggunakan resin akrilik sebagai bahan pengikat pigmen warna. Ia sangat popular dalam seni lukis, kraf dan hiasan kerana mudah digunakan serta cepat kering.

Rosli percaya cabaran sebenar bukan pada kemampuan anak autisme, sebaliknya sejauh mana guru, ibu bapa dan masyarakat sanggup memahami cara mereka belajar. Dengan pendekatan yang sesuai, bakat yang selama ini tersembunyi mampu menyinar.

Rosli Mohd Nordin ketika temu bual di SK Alam Megah 3 pada 8 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Kepercayaan itu bukan sekadar teori. Buktinya, Ketua Panitia Pendidikan Seni Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan Alam Megah 3, Nur Hanani Ismail, 45, yang melihat sendiri perubahan salah seorang pelajarnya, Nur Raisha Rania Abdullah, 12.

Bakat itu dicungkil selepas beliau berpindah ke kelas PPKI. Raisha pada awalnya dilihat sebagai pelajar yang senyap dan tidak mudah bergaul ketika di aliran perdana. Selepas ke kelas PPKI, segalanya berubah. Beliau mula aktif menyertai aktiviti sekolah.

Menurut Hanani, setiap kali mempunyai masa terluang, Nur Raisha Rania akan melukis mengikut imaginasi sendiri. Walaupun komunikasi pelajar autisme agak terbatas, pemerhatian tajam membolehkan mereka mengingati sesuatu imej dengan sekali pandang sebelum melukisnya semula atas kertas.

Keupayaan itu menyakinkan tenaga pengajar untuk terus menggilap bakat Nur Raisha Rania. Hanani dan Rosli pantas menyahut cabaran menyertai Karnival Kokurikulum Kesenian Pendidikan Khas peringkat daerah Petaling Perdana meski hanya menerima jemputan pada saat akhir.

Foto Rosli Mohd Nordin

Tiga minggu yang suntuk sebelum pertandingan dimanfaat sebaiknya bagi memperkenalkan medium akrilik yang tidak pernah digunakan oleh Nur Raisha Rania.

Selain mempelajari teknik asas, mereka turut didedahkan dengan pelbagai kaedah menghasilkan tekstur dan kesan visual menggunakan bahan berbeza.

Sabar menjadi kunci kekuatan melatih pelajar autism. Hanani memilih untuk mengikut rentak pembelajaran murid berbanding memaksa mereka menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh tertentu.

Apabila beliau menyedari tumpuan pelajar mula berkurangan, latihan diberhentikan seketika sebelum disambung semula selepas rehat.

Bagi Hanani, anak autisme memerlukan ruang untuk mengawal emosi dan tenaga sendiri. Memaksa mereka terus berkarya ketika penat hanya akan menyebabkan tekanan dan menganggu proses pembelajaran.

"Macam saya sendiri pun untuk kedua-dua murid (pendekatan) saya ini lebih kepada pujuk. Sebab kelas tu kita buat daripada pagi sampai ke petang lama.

Dalam 30 minit, bila dia orang dah rasa macam stress, kita berhenti. Kalau katakan mereka penat, memang kita stop. Hari tersebut kita stop latihan lah," kata Hanani.

Ketua panitia seni PPKI SK Alam Megah 3, Nur Hanani Ismail dirakam pada 8 Julai 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Kejayaan berganda

Keringat yang diperah tidak menitik sia-sia. Dua wakil SK Alam Megah 3 cemerlang dalam pertandingan lukisan kanvas kategori autisme sempena karnival berkenaan meski kali pertama bertanding. Lebih manis mereka layak ke peringkat negeri pada awal Ogos depan.

Nur Raisha Rania memenangi tempat ketiga. Seorang lagi wakil Nor Aisyah Nor Lazim, 11, pula juara menerusi karya abstrak yang dihasilkan menggunakan gabungan cat akrilik, pasir dan pisau palet.

Kejayaan itu membakar lagi minat mereka terhadap seni dan mula menerokai medium kreatif yang lain. Ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah antara watak penting dalam usaha mengumpul dana kerana kerana cat akrilik serta peralatan seni memerlukan kos yang agak tinggi.

Sepanjang tempoh persediaan, ibu bapa memberi kebenaran dan kepercayaan penuh kepada Hanani untuk melatih anak-anak hingga lewat petang.

Bagi Hanani, masyarakat masih terlalu kerap menilai anak autisme berdasarkan kekurangan yang mereka miliki sedangkan setiap individu berada dalam spektrum berbeza dan mempunyai kekuatan sendiri.

Ada yang mungkin berdepan kesukaran berkomunikasi dan bersosial, namun pada masa sama mampu memberi tumpuan luar biasa terhadap perkara yang benar-benar diminati.

Harapan Hanani tetap sama, ibu bapa mesti berani meneroka minat dan kemahiran anak sejak kecil. Bakat seperti seni lukis bukan sekadar menjadi 'kanvas' ekspresi diri, bahkan mampu membuka laluan kepada pendidikan, kerjaya dan kehidupan yang lebih berdikari pada masa hadapan.

Rosli turut berkongsi harapan yang sama. Baginya, lebih banyak ruang perlu diberi untuk anak autisme mempamer kebolehan supaya masyarakat melihat kemampuan sebenar mereka.

"Sebab kalau kita sentiasa melihat kekurangan, kita akan dapat kekurangan tetapi kalau kita melihat kelebihan, saya percaya lebih banyak kelebihan yang kita boleh cungkil," jelasnya.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.